Home Muktamar PAS Ke 64 10 Arahan Penting Dari Presiden PAS

10 Arahan Penting Dari Presiden PAS

3
0
SHARE

Oleh: Asyraf Hanif

KUALA TERENGGANU, 15 Sept – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menggariskan tindakan bersama yang perlu dilakukan oleh pemimpin dan ahli PAS seluruh negeri dan kawasan di dalam ucaptamanya.

Sepuluh arahan tersebut adalah :-

1) Semua pihak dalam PAS Pusat, Dewan-Dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema “ISLAM MEMIMPIN”, seterusnya merangka perancangan melalui pendekatan BPMS dan kesediaan untuk bekerjasama atas perkara kebaikan di semua peringkat.

2) Pentarbiahan pimpinan dan ahli adalah elemen asasi yang perlu diteruskan melalui aktiviti usrah, tamrin dan liqa’ fikri mengikut marhalah yang telah ditetapkan. Penumpuan wajar diberikan untuk memberi penambahbaikan dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’ dan sistem pemantauan, di samping proses pembentukan fikrah di kalangan anak ahli PAS dan pelapis perjuangan.

3) Pentadbiran Organisasi di semua peringkat perlu terus diperkemaskan supaya lebih berkesan. Selain, sistem KPI dan perancangan strategik yang semakin diamalkan di Peringkat Negeri dan Kawasan, beberapa aspek pengurusan organisasi wajar diberi nilai tambah, antaranya dalam kempen penambahan ahli, pengurusan sumber manusia, kualiti mesyuarat, serta pengurusan kewangan yang sistematik.

4) Dewan Ulama perlu bertindak pantas menjadi jurubicara untuk menjelaskan isu semasa dengan merujuk kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah, serta proaktif dalam menganjurkan seminar ‘ilmiyyah dalam memahami persoalan Maqasid dan Siyasah Syar’iyyah. Ulama perlu menarik seramai mungkin cerdik pandai untuk bersama PAS, di samping keperluan untuk menguasai ilmu moden dan mengembangkan dimensi ilmu yang dikuasai.

5) Dewan Muslimat perlu mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat, melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan. Dewan Muslimat berperanan besar dalam menentukan kuasa politik dan kejayaan membina kualiti insan dalam negara. Penganjuran aktiviti mesra-wanita dalam lapangan kemahiran, minat dan riadah boleh dijadikan wadah untuk mendekatkan PAS kepada golongan wanita.

6) Dewan Pemuda mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam, dan bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan. Pendekatan dakwah yang kreatif, penguasaan media sosial dan penglibatan di lapangan anak muda mesti dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam. Pemuda juga perlu mendepani isu nasional dan antarabangsa, serta mampu mengemukakan solusi terhadap permasalahan rakyat dan anak muda.

7) DHPP wajar diperkemaskan dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya, dibangunkan bersama oleh Lajnah Tarbiah dan Lajnah Dakwah. DHPP di semua peringkat wajar menjadi jambatan yang menghubungkan PAS dengan Parti Politik dan NGO berasaskan kaum dan agama yang lain, bagi menarik sokongan pengundi bukan-Melayu yang boleh berubah dalam PRU15 kelak.

8) Pimpinan dan ahli PAS yang memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan Jawatankuasa yang berkaitan perlu melaksanakan amanah dengan sempurna. Semua yang dilantik wajib menunjukkan adab, akhlak dan keilmuan yang tinggi ketika perbahasan dan menghormati penjawat awam, sehingga menjadi contoh ikutan pihak lain.

9) Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh pimpinan Negeri. Program dalaman seperti aktiviti tarbiyah dan kepimpinan mestilah menjadi agenda yang penting dalam taqwim tahunan, di samping mempelbagaikan program kebajikan dan kemasyarakatan untuk menambah ahli dan menarik sokongan rakyat kepada PAS.

10) Pimpinan dan ahli PAS secara keseluruhannya perlu menjaga hubungan dengan Allah, membina syakhsiah dengan Ta’lim dan Tarbiyah, membekalkan ilmu kepada akalnya secara bertafaqquh, menanamkan iman dan akhlak yang mulia kepada rohaninya, serta wajib melengkapkan diri dengan ilmu Fardu Ain dan ilmu Fardu Kifayah mengikut kemampuan.

Sepuluh arahan ini hendaklah dilakukan oleh semua pimpinan dan ahli PAS negeri dan kawasan untuk memperkasakan gerakan dakwah PAS di peringkat Politik tanah air.