Home Artikel Kelainan Muktamar PAS ke-60 di Johor

Kelainan Muktamar PAS ke-60 di Johor

2,099 views
0
SHARE

Muktamar PAS Kali Ke-60 semakin hampir dan pihak panitia muktamar sedang bertungkus-lumus melakukan persiapan bagi memastikan kelancaran perjalanan muktamar. Bagi mendapatkan maklumat rasmi berkaitan muktamar kali ini, wartawan Harakah menemubual Timbalan Pengarah 2 Muktamar PAS Kali Ke-60, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang juga Penolong Setiausaha 2 PAS Pusat baru-baru ini.

HARAKAH: Di mana dan bilakah muktamar PAS tahun ini akan berlangsung?

KHAIRUL FAIZI: Muktamar PAS tahun ini akan berlangsung di Taman Sutera Utama, Skudai. Muktamar PAS Pusat berlangsung dari 18 hingga 20 September. Bagi dewan-dewan pula akan bermula 16 hingga 17 September dan ketiga-tiganya akan berlangsung di lokasi berbeza. Muktamar Dewan Muslimat akan berlangsung di tapak yang sama dengan Muktamar PAS Pusat di Taman Sutera Utama. Muktamar Dewan Ulama akan diadakan di sebuah hotel di kawasan Kulai dan Dewan Pemuda akan menggunakan sebuah dewan perniagaan Cina di Kota Tinggi. Tempat Muktamar Dewan Pemuda agak jauh sikitlah dari tapak dewan Muktamar PAS Pusat, lebih kurang dalam 40 KM. Muktamar ketiga-tiga dewan akan berlangsung selama dua hari bermula selasa dan akan berakhir hari Rabu dan muktamar PAS Pusat akan bermula pada hari Khamis dan berakhir pada Sabtu.

HARAKAH: Apa kelainan yang akan ditampilkan pada muktamr kali ini?

KHAIRUL FAIZI: Tahun-tahun yang lalu, selain perjalanan muktamar, kita akan fokus kepada ekspo dalam bentuk perniagaan. Tapi kali ini kita nak lebih kepada mempromosikan produk-produk daripada negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kita menjemput daripada negeri-negeri Pakatan Rakyat sendiri untuk hadir mempromosikan produk dari negeri masing-masing. Contohnya dari Kelantan mereka akan bawa produk pelancongan, makanan dan sebagainya. Kita juga bincang dengan Selangor supaya Selangor dapat bawa produk melalui PKNS dan sebagainya supaya mereka boleh bersama-sama mempromosikan produk dari negeri-negeri lain.

Yang keduanya kita nak supaya muktamar kali ini akan memperlihatkan konsep PAS Untuk Semua atau PAS FOR All. Dari segi persembahan, penampilan muktamar kali kita nak supaya PAS dilihat mewakili semua kaum dan agama. Sebelum ini kita banyak kepada acara-acara atau persembahan nasyid ataupun kebudayaan Melayu tetapi kali ini kita nak supaya persembahan ketiga-tiga kaum dapat ditonjolkan dalam muktamar kali ini. Kita akan fokus kepada program di luar daripada waktu muktamar.

Tambahan pula, pemilihan Johor sebagai tuan rumah dalam keadaan Johor masih lagi dalam keadaan bukan sebuah kerajaan yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dan ini merupakan satu cabaran yang sangat besar. Kita tidak mampu menggunakan dewan-dewan besar di Johor. Maka kita terpaksa menyewa tanah dan memasang khemah yang besar untuk menerima perwakilan dari seluruh negara. Johor terpaksa berdepan dengan suasana begini. Rasanya ini kali pertama muktamar PAS tidak menggunakan bangunan kekal. Ini mungkin kelainan yang tidak berlaku di muktamar-muktamar sebelum ini. Dalam keadaan Johor yang digambarkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional dan kita bermuktamar dalam keadaan kita tidak menjadi kerajaan, ini satu cabaran yang hebat dan kita cuba supaya muktamar ini ada kelainan.

Di peringkat panitia muktamar dan PAS Negeri Johor, kita sudah usaha untuk menyewa dewan-dewan besar khususnya yang berada di bawah kerajaan negeri seperi stadium dan sebagainya tetapi tidak mendapat kebenaran untuk menggunakannya. Dan kita pun tidak dapat menggunakan kawasan-kawasan yang luas. Tak ada tempat yang sesuai jadi alternatif yang ada sebagai contoh Dewan Pemuda terpaksa mencari sampai ke peringkat terpaksa menyewa dewan besar di Segamat. Segamat lebih kurang 200 KM dari Johor Bharu. Akhirnya dapat jumpa dewan yang agak besar tetapi masih lagi tak mampu nak menampung kedudukan yang selesa. Dewan Muslimat pula terpaksa menggunakan tempat yang sama dengan dengan PAS Pusat, Dewan Ulama dengan kapasiti yang agak kecil maka boleh gunakan sebuah hotel yang agak luas di Kulai tapi itu pun jauh dari Johor Bharu.

PAS Johor nak sahut cabaran PAS Pusat maka kita bersedia mencari tempat yang luas dan menyewa khemah yang besar untuk kegunaan para perwakilan. Setelah dua tiga kali lawatan ke tapak muktamar, setiausaha agung pun dah turun, pengarah muktamar pun dah turun dan masing-masing berpuas hati dengan tempat yang ada. Kita cuba dengan seminima mungkin menggunakan khemah yang selesa dengan kos yang paling rendah.

HARAKAH: Dalam tempoh sebulan lebih menjelang muktamar ini, perkara apa yang sedang diselesaikan oleh pihak panitia muktamar?

KHAIRUL FAIZI: Sekarang ini fokus kita adalah kalau dari segi persiapan muktamar sendiri, kita fokus untuk memantau persiapan-persiapan yang telah kita rancang contohnya dari segi permohonan permit, tempahan untuk dewan dan sebagainya itu sudah selesai. Sekarang kita fokus untuk persiapan-persiapan yang leboh menjurus kepada penerimaan perwakilan dari luar. Dari segi penginapan untuk perwakilan dari luar kita sudah mula mendapatkan pengesahan dari kawasan-kawasan untuk tempahan tempat. Di peringkat panitia sendiri kita perhalusi apa yang telah kita putuskan dari awal, semua sekali dari segi persiapan dewan, tempat dan sebagainya. Persiapan untuk muktamar ini sudah dibuat sejak tiga bulan lepas. Kita buat persiapan awal sebab kita bimbang tak dapat tempat maka kita bersiap dari awal.

Dari segi perwakilan, setakat ini kawasan yang statusnya sah berdaftar dengan ROS, 186. Jadi 186 kawasan ini lebih kurang hampir 1,200 perwakilan yang akan datang dari negeri-negeri dan dari dewan-dewan. Tempat yang kita sediakan itu memang cukup untuk setiap perwakilan dan kita boleh terima termasuk pemerhati yang hadir. Jawatankuasa usul pula, kita akan bentuk dalam mesyuarat pada hari Ahad ini di bawah ketua penerangan cuma kita belum bincang usul-usul yang nak diterima.

HARAKAH: Bagaimana pula dengan jemputan dari luar untuk menghadiri muktamar kali ini?

KHAIRUL FAIZI: Seperti biasa kita memang ada jemputan dari luar cuma kita belum senarai akhirkan siapa yang hadir. Kita lebih memfokuskan kepada jemputan di peringkat dalaman parti. Sebelum ini kita agak tertinggal dari segi jemputan kepada veteran-veteran PAS, tokoh-tokoh PAs ataupun mereka yang telah menyertai PAS dari golongan profesional, artis dan sebagainya, kita tak begitu fokus walaupun mereka datang tapi kita tak dapat menyeluruh. Jadi kita nak fokus kali ini kehadiran ke muktamar untuk kali ke-60 ini kita dapat menjemput ramai tokoh-tokoh PAS yang lama. Mungkin juga kita akan memfokuskan tokoh-tokoh dari Johor. Sebelum ini mungkin orang tak tahu sebab orang tidak melihat Johor sebagai negeri yang dipegang oleh PAS, negeri yang selalu hilang deposit, jadi kita nak fokuskan kepada tokoh-tokoh dari Johor dan kebetulan tahun ini juga sambutan 60 tahun PAS Johor, jadi kita nak tampilkan mereka yang lama berjuang di Johor untuk bersama dalam muktamar.

– HARAKAHDAILY 20/8/2014