Home Artikel Himpunan ‘kasih sayang’ konsep Muktamar Muslimat

Himpunan ‘kasih sayang’ konsep Muktamar Muslimat

952 views
0
SHARE

KUALA LUMPUR: ‘Muslimat Prihatin Masyarakat Sejahtera’ menjadi tema bagi Muktamar Muslimat PAS Pusat kali ke-54 yang akan berlangsung pada 16 dan 17 September depan.

Bertempat di Sutera Square Johor Bharu, Muktamar Muslimat kali ini dijangka akan dibanjiri hampir 1,300 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Perasmian Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu pada 16 September, jam 8.30 malam manakala Muktamar Penuh Muslimat pada keesokanya bermula awal pagi hingga 6.30 petang.

Menurut Pengarah Muktamar Muslimat kali ke-54, Che Azlina Che Harun, orang ramai dijemput untuk mengikuti perasmian muktamar dan menjadi pemerhati pada keesokanya.

Pada malam perasmian itu katanya, Dewan Muslimat turut melancarkan kutipan derma untuk Tabung Gaza.

Sokong Harakah

Kemudian diikuti dengan pelancaran ‘Satu Ahli Satu Harakah’ yang akan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof.

“Ini adalah komitmen daripada muslimat untuk Harakah malah kita sedia maklum ke peringkat kawasan untuk melanggan akhbar parti ini sebagai Smart Synergy dengan Harakah yang banyak membantu parti. Usaha ini sebagai pemula khususnya di kalangan Muslimat,” katanya kepada Harakahdaily.

Che Azlina yang juga Setiausaha Muslimat PAS Pusat menegaskan konsep muktamar pada kali ini lebih kepada himpunan ‘kasih sayang’ bersama-sama untuk bertukar-tukar pendapat dan menambahkan maklumat demi mamajukan Muslimat di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para media yang akan membuat liputan hendaklah berdaftar dengan PAS Pusat bagi mengelakkan sebarang kesukaran yang akan berlaku.

“Muslimat akan menggunakan pas media yang digunakan oleh Muktamar PAS Pusat, kita akan sediakan bilik khas buat media dan akan sedaya upaya memastikan kemudahan internet lancar buat media,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berkenaan usul masih belum diputuskan lagi memandangkan muktamar di peringkat negeri masih berlangsung, tetapi meminta pihak negeri menghantar usul sebelum 1 September ini.

-HARAKAHDAILY21/8/2014