Home Artikel ‘Kita kalah kalau penduduk asyik marah’

‘Kita kalah kalau penduduk asyik marah’

1,382 views
0
SHARE

Pemimpin Pakatan Rakyat dinasihatkan supaya memastikan setiap pelan perancangan strategi yang diaturkan dalam setiap peringkat urusan pentadbiran tidak memberi kesan mudarat yang besar kepada rakyat seluruh negeri itu.

Adun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh mengingatkan hal itu ketika mengulas mengenai krisis Menteri Besar Selangor yang menyebabkan Pakatan Rakyat dicemuh banyak pihak kerana dianggap membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak.

 

Beliau menjelaskan, Selangor sentiasa menjadi perhatian penduduk di Johor untuk melakukan sebarang perubahan dari segi politik dan pentadbiran negeri.

Beliau mengakui, sedikit sebanyak Muktamar PAS di Johor pada tahun ini bakal berhadapan dengan suasana yang mungkin sedikit suram lantaran dengan apa yang berlaku di Selangor.

Namun begitu, dalam masa yang sama, PAS Johor sebagai tuan rumah tetap akan memastikan muktamar yang pertama kali diadakan di negeri ini sebagai pintu utama untuk memperkenalkan PAS ke seluruh rakyat di sana.

Mungkin pelik, tetapi katanya, masih ada lagi penduduk yang belum tahu kewujudan PAS sepenuhnya bahkan ada yang terkejut dengan kemampuan PAS menghantar empat orang wakil rakyatnya sekarang ini ke Dewan Undangan Negeri Johor.

 

Lebih melucukan, kongsinya, ada juga penduduk dalam kawasan Sungai Abong yang diwakilinya tidak tahu yang Adun mereka adalah dari PAS dan menganggap segala bantuan yang diberikan kepada mereka adalah sumbangan daripada Umno.

 

“Ini peluang besar kepada PAS untuk meluaskan pengaruh kita dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu yang cukup sinonim dengan Umno sebelum ini,” katanya.

 

Dr Sheikh Ibrahim mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Bandar Mersing, Johor, seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Pai Chee, Mersing, Johor dan Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

 

Selepas itu, beliau berjaya melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Universiti Baghdad, Iraq.

 

Selepas selesai menamatkan pengajian dengan jayanya, beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Hospital Muar selama lima tahun iaitu sejak 1980 sehingga 1985, sebelum memulakan khidmat rawatannya di Klinik Ibrahim & Surgeri, Muar sehingga hari ini.

 

Aktif dengan program kemasyarakatan, Dr Sheikh Ibrahim juga turut memegang pelbagai jawatan komuniti seperti AJK KRT 6B, Taman Desa, Muar dan Imam ketiga, Surau Taman Desa.

 

Beliau mula menyertai PAS sekitar 1990-an dan menjadi calon dalam pelbagai siri pilihan raya di kawasan sekitar Johor.

 

Bukan laluan mudah di kubu Umno

Berkongsi pengalamannya sebagai doktor dan wakil rakyat, Dr Sheikh Ibrahim mempunyai satu pandangan yang serupa dengan sahabatnya, Dr Mohamad Taslim iaitu dari segi pendekatan ketika berhadapan dengan penduduk setempat.

 

Beliau menjelaskan sudah tentu tidak mudah untuk PAS merintis jalan dalam sebuah negeri yang dahulunya cukup sinonim sebagai kubu kuat Umno, tetapi perubahan politik semasa berjaya menghapuskan imej negeri selatan itu dengan parti Umno.

 

“Kalau dahulu penyokong Umno cukup alergik hatta dengan bendera PAS, tetapi sekarang semuanya sudah cukup berbeza walaupun tidak dinafikan masih ada yang sukar menerima kedatangan PAS dalam negeri mereka.

 

 

“Tetapi kalau kita asyik fikirkan mengenai itu, sampai bila-bila pun kerja kita tidak akan selesai,” ujarnya.

Beliau mendedahkan, di Johor, untuk sebuah parti yang mula mendapat perhatian penduduk seperti PAS, maka pendekatan politik yang lebih merendah diri adalah lebih utama berbanding bersikap memburukkan pihak lawan.

 

“Ini penting untuk dijelaskan sebab kita tidak mahu penduduk sini benci kerana kita datang berceramah dan menghentam pemimpin Umno. Walau buruk macam mana pun Umno, tetapi pengaruh parti itu masih kuat dalam kalangan penduduk,” ujarnya.

 

Katanya, berbanding memilih jalan mendedahkan keburukan pihak lawan, ada baiknya juga PAS memilih jalan memberikan khidmat bantuan kepada golongan yang memerlukan kerana ini cukup berkesan untuk melembutkan hati mereka.

 

“Lawan dengan kekerasan memang tidak boleh berjalan. Kalau mereka marah kita, maknanya kita yang kalah. Lebih baik buat sesuatu yang menyenangkan hati mereka sahaja,” ujarnya lagi.

 

Bersyukur dengan kepakaran yang dimiliki, Dr Sheikh Ibrahim berkata, melalui rawatan yang diberikan kepada pesakit yang berbilang parti, bangsa dan kaum ini memudahkan beliau menyampaikan dakwah dengan cara tersendiri.

 

“Program kebajikan yang kita lakukan juga cukup banyak dengan pelbagai sumber bantuan dari pelbagai pihak. Ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat tentang kesungguhan kita membela nasib mereka.

 

“Sekarang ini penyokong Umno pun sudah ok dengan kita berbanding dahulu,” katanya.

 

Dalam pada itu, Dr Sheikh Ibrahim berkata, ada kalanya program bantuan yang diberikan tidak melalui acara yang khusus, sebaliknya, beliau lebih gemar terus menghantar bantuan berdasarkan kepada maklumat penerima yang layak yang diberikan oleh pihak masjid dan jawatankuasa kampung.

 

“Tetapi, ada kalanya saya pula yang berikan kepada pihak masjid dan jawatankuasa kampung supaya diagihkan kepada penerima yang layak.

 

Saya suka kepada proses yang lebih ringkas tanpa banyak birokrasi dan sebagainya,” jelas beliau.

 

Anak kelahiran Mersing itu, cuma mengharapkan agar penduduk disitu lebih melihat kepada bantuan yang diberikan dan bukannya menilai beliau dari parti yang mana kerana katanya, beliau puas penduduk menerimanya berdasarkan kepada rekod khidmat berbanding hanya mengetahui dia sebagai wakil rakyat PAS.