Home Artikel Usul Tergempar DMPP : Mansuh Akta Hasutan

Usul Tergempar DMPP : Mansuh Akta Hasutan

433 views
0
SHARE

Menyedari pelbagai pihak, termasuk wartawan dan ahli akademik, telah didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang menggunakan Akta Hasutan.

Memahami bahawa Akta Hasutan ini merupakan undang-undang lapuk yang wujud sejak zaman penjajahan British yang tidak sesuai lagi dilaksanakan pada zaman sekarang.

Menegaskan bahawa Akta Hasutan ini telah digunakan sebagai senjata untuk menutup mulut pelbagai pihak daripada mengkritik tindakan-tindakan kerajaan.

Memahami bahawa pendakwaan ke atas kes-kes Akta Hasutan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Hasutan adalah berat.

Menginsafi betapa penguatkuasaan Akta Hasutan telah menutup ruang perbincangan yang sihat ke atas tindakan-tindakan kerajaan Malaysian yang memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.

Menginsafi betapa sebuah negara yang demokratik memerlukan ruang perbincangan yang terbuka demi kebaikan rakyat.

Menyedari bahawa Islam menganjurkan supaya berkata benar walaupun pahit di hadapan pemimpin yang zalim dan pemimpin sebenarnya adalah khadam kepada rakyat yang perlu mendengar rintihan dan ketidakpuasan hati rakyat.

MAKA, Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-54 yang bersidang pada hari ini, 17 September 2014 mengambil ketetapan untuk sebulat suara mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimasuhkan.