Home Artikel Ucaptama Muktamar Pemuda Ke 56 :Mempersiap Generasi Kemenangan

Ucaptama Muktamar Pemuda Ke 56 :Mempersiap Generasi Kemenangan

107
0
SHARE

Saya ucapkan selamat datang dan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, pemerhati dan tetamu yang menghadiri Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali ke-56 ini. Saya sangat teruja dan bersyukur kerana negeri Selangor Darul Ehsan ini yang dahulunya begitu sukar untuk kita tembusi dan raih sebarang kerusi, kini menunjukkan pencapaian yang cemerlang bagi PAS sehingga mampu mendapatkan 15 kerusi DUN Selangor iaitu antara yang terbanyak dalam kalangan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sesungguhnya tidak ada apa yang mustahil jika diizinkan oleh Allah asalkan kita berusaha bersungguh-sungguh dan mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah yang ditetapkan. Insya-Allah muktamar ini akan menyumbang kepada pencapaian politik, dakwah dan tarbiyah yang lebih cemerlang kepada PAS Selangor khususnya dan PAS Pusat umumnya. 

Saya ingin mengajak semua para perwakilan supaya memanfaatkan muktamar ini sebagai wadah untuk kita berbahas dan mencanai idea- idea baru dan progresif, di samping bermuhasabah untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang ada pada kita, agar gerakan dan Jemaah kita ini lebih efektif dan produktif berbanding masa-masa yang lalu.

A. TEMA MUKTAMAR

Sidang muktamar yang dikasihi,

Firman Allah:
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang- orang yang derhaka. (Surah An-Nur: 55)

Tema Muktamar Tahunan Pemuda PAS pada tahun lalu ialah Memperkukuh Muafakat. Ia suatu peringatan penting agar kita terus kukuh berjuang dalam Pakatan Rakyat bagi mengisi harapan dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat terutamanya menerusi keputusan pilihan raya yang lepas. Kita juga mesti memperkukuhkan muafakat sesama ahli parti khususnya dalam Pemuda agar apa jua cabaran yang mendatang mampu kita hadapi dengan teguh, gagah dan bersedia.

Pada kali ini, Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia mengangkat tema Mempersiap Generasi Kemenangan. Perkembangan politik negara pada masa ini menunjukkan desakan yang semakin kuat ke arah perubahan dalam menggantikan regim UMNO Barisan Nasional yang telah sekian lama berkuasa. Regim yang berleluasa memerah hasil bumi negara ini sehingga ke paras hutang negara dan isirumah yang menjerut leher serta keruntuhan akhlak dan moral rakyat ke tahap yang terendah dan sangat menakutkan.

Parti pemerintah UMNO pada masa ini menghadapi masalah dalaman yang cukup rumit. Pertembungan antara Dato Sri Najib dan Tun Dr Mahathir sudah hampir sampai ke kemuncaknya. Sama ada Dato Sri Najib menang atau Tun Dr Mahathir yang menang, UMNO tetap akan tercedera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat akan terus menolak BN dalam pilihanraya akan datang. InsyaAllah Pakatan Rakyat akan menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

Klik untuk Baca Teks Penuh