Home Dewan Muslimat Muslimat Penjana Ekonomi Jemaah

Muslimat Penjana Ekonomi Jemaah

52 views
0
SHARE

Oleh: Fatimah

ALOR SETAR, 27 April- Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-57 semakin hampir melabuhkan tirai dengan sesi ucapan penangguhan yang disampaikan oleh wakil-wakil setiap negeri, Wilayah Persekutuan, Majlis Guru PASTI dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan mewakili negeri Pahang, Maziah Mahusin telah mengetengahkan tema ‘Muslimat menjana ekonomi jemaah: menangani kemelut kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat’.

Menurutnya, antara langkah-langkah untuk muslimat menjanakan ekonomi ummah adalah dengan mengenalpasti bidang ekonomi yang boleh diceburi dan menjana pendapatan tinggi berdasarkan kelebihan yang ada dalam diri ahli muslimat.

Disamping itu, beliau berkata muslimat haruslah menggembeleng tenaga supaya segala program yang dirancang berjalan dengan efektif dan berkualiti.

Wakil Pahang itu juga menyeru hadirin mengimbas kembali sejarah Saidatina Khadijah RA yang merupakan seorang muslimah serta pedagang yang berjaya pada zaman Rasullah SAW untuk dijadikan contoh dan teladan kepada para muslimat.

Terdahulu, Ketua Muslimat, Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh dalam ucaptamanya turut mencadangkan supaya satu jawatankuasa bertindak dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi Islam bagi membincangkan cadangan-cadangan solusi permasalahan ekonomi masa kini yang terdapat dalam Dokumen Hijau yang dikemukakan sendiri oleh PAS.