Home Dewan Pemuda Kedah Menggamit Kehadiran Rakyat Malaysia

Kedah Menggamit Kehadiran Rakyat Malaysia

330 views
0
SHARE

KEDAH MENGGAMIT KEHADIRAN RAKYAT MALAYSIA

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Hujan mencurah lebat dengan jutaan kubik air menampar-nampar Kompleks PAS Kedah ,Kota Sarang Semut pada malam Taklimat Presiden PAS. Negeri yang sarat dengan sejarah PAS itu ialah antara negeri yang disasarkan oleh PAS untuk dimenangi dalam PRU ke 14. Negeri jelapang padi ini yang sarat dengan jajaran sekolah agama rakyat ini membekalkan pendokong PAS yang kental serta tahan uji.

Seorang mantan MB Kedah daripada BN pernah menyebut tentang korelasi antara “padi, pondok dan PAS” dan beliau merujuk kepada fenomena kekuatan PAS di negeri jelapang padi ini.Tuan Guru Othman al Yunusi telah menubuhkan PAS pada 6 september 1952 di Madrasah an Nahdah Bukit Besar, dengan dokongan agamawan dan para asatizah. Semenjak awal PAS berkubu di pondok dan Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri Kedah.Cawangan pertama PAS di Kedah ialah di Bukit Besar, manakala tokoh muda PAS seperti Ustaz amaluddin Darus telah berusaha untuk mengembangkan PAS di negeri Kelantan. Almarhum Ustaz Amaluddin juga telah menemui guru-guru pondok di Kelantan untuk menerangkan nuansa perjuangan PAS sehingga Kelantan menjadi pengkalan kuasa kepada PAS semenjak dekad 1950an.

Berbeda dengan Terengganu atau pun Kelantan, Kedah agak unik dengan pengaruh PAS berkubu kuat di kawasan agrarian, dimana institusi pondok dan sekolah agama rakyat berfungsi untuk mencerdaskan rakyat. Manakala di Terengganu dan Kelantan pula, semakin terperusuk jauh di pedalaman maka UMNO semakin bertakhta merantai fikiran dan akal budi rakyat.

Negeri yang pernah berdaulat Raja Merong Mahawangsa ini juga tak lekang dengan sejarah pertembungan, pembantaian, serta melahirkan ramai tokoh-tokoh pimpinan pelbagai parti politik. Pada tahun 1955 telah berlangsung Rundingan Baling antara pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pimpinan PKM. Namun pemberontakan Bintang Tiga gagal untuk ditamatkan dengan perjanjian tersebut.

Pada tahun 1974 berlaku bantahan awam di Baling Kedah akibat kegelisahan sosio ekonomi rakyat jembel dan mahasiswa. Peristiwa yang memicu kebangkitan gerakan mahasiswa ini berakhir dengan tangkapan ISA besar-besaran kepada pimpinan pelajar di seluruh negara. Pada tahun 1980 pula, regim BN telah menahan pimpinan pemuda di kedah akibat demonstrasi padi. Antara yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Othman Marzuki, Haji Rafie, Haji Salahudin Mansor dan lain-lain tokoh pemuda.

Kedah memahat sejarah dengan pembunuhan aktivis PAS, Ustaz Othman Talib pada tahun 1985 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap dalam Pilihanraya Kecil . Pada 19 November 1985 Tragedi Memali telah mencuri lensa berita dalam dan luar negara. 14 orang ahli-ahli PAS telah dibunuh termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud dalam peristiwa berdarah yang kekal menjadi bagasi sejarah kepada regim Dr Mahathir.

PAS kedah terus bangkit mempersada perjuangan, menyemarakkan jihad ta’lim seperti suburnya jaringan sekolah rendah SRIDU. Pimpinan PAS Kedah iaitu Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang terinspirasi dengan kompleks Jamiat Islami di Pakistan maka lahirlah Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena. Kolej Islam Darul Ulum adalah lambang kesungguhan Perhubungan PAS Kedah untuk mencetak generasi kepimpinan dan keseriusan membina perkaderan.

Usaha membina Muassasah Darul Ulum dibayar dengan harga yang sangat mahal termasuk dengan tangkapan ISA yang dikenali sebagai Operasi Kenari pada tahun 1988. Aktivis PAS Kedah terus bangkit melebarkan pengaruh perjuangan Islam , sehinggalah pada tahun 2008 , PAS Kedah telah berjaya merengkuh kekuasaan.

Pesuruhjaya PAS Kedah , Dato Seri Azizan Razak telah dilantik sebagai MB Kedah yang kesepuluh. Almarhum dalam tempoh sepenggal pemerintahan telah berjaya melakarkan pelbagai kejayaan yang sangat manis. Antaranya pemerkasaan pendidikan tinggi, pengupayaan ekonomi walaupun negeri ini terhad dengan sumber khazanah.

Muktamar PAS kali ke 63 ini juga adalah lonjakan besar bagi PAS Kedah untuk kembali menawan Wisma Darul Aman dalam PRU ke 14 ini. Pendokong PAS Kedah dengan semangat yang membuncah berjaya menyiapkan prasarana Muktamar, pengorbanan mereka sangat besar sehingga Kompleks PAS Kedah adalah saksimata kesungguhan tanpa lelah. Jom teman-teman semua, kita gempur dan semarakhijaukan bumi Kedah ini, bumi bersimbah darah syuhada Memali. Kedah adalah milik PAS kali ini!.