Home Pusat Diskusi Usul Menutup Tirai Muktamar Hari ke-2.

Diskusi Usul Menutup Tirai Muktamar Hari ke-2.

378 views
0
SHARE

Diskusi Usul Menutup Tirai Muktamar Hari ke-2.

ALOR SETAR, 30 April– Sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 63, sebanyak lima usul dibentang untuk dibahaskan di samping beberapa usul diterima tanpa bahas.

Antara usul yang diterima tanpa bahas adalah dari PAS Kawasan Kuala Krau yang mengusulkan agar PAS menubuhkan satu badan khas di peringkat pusat untuk menangani sebarang bentuk usaha menyebarkan fahaman Islam Liberal dan anti Islam di negara ini.

PAS Kawasan Indera Mahkota pula mengusulkan supaya PAS melalui ahli-ahli Parlimennya mengangkat perkara ini ke Dewan Rakyat dengan mengemukakan usul meminda bidangkuasa SPRM agar suruhanjaya itu mempunyai kuasa penyiasatan penuh dan hak pendakwaan berbanding bidangkuasa yang dilihat sangat terhad.

Usul seterusnya dari PAS Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu yang mengusulkan supaya PAS Pusat membuat satu kajian mendalam dan mempertimbangkan supaya diangkat segera ke Majlis Syura Ulamak (MSU) bagi mendapatkan kelulusan bahawa PAS akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi oleh PKR sekiranya tiada persefahaman politik pilihan raya dicapai sebelum berlakunya PRU ke 14.

Satu usul pendidikan dibawa oleh PAS Kawasan Selayang juga diterima tanpa bahas yang mengusulkan supaya PAS Pusat melalui Lajnah Pendidikan PAS Pusat mengintegrasikan sistem pendidikan yang diusahakan oleh institusi-institusi pendidikan PAS di semua peringkat pengajian kepada suatu sistem pendidikan yang selaras dan bersepadu untuk digunapakai di seluruh negara.

Satu usul ekonomi dari Dewan Muslimat PAS Malaysia turut diterima tanpa bahas yang mendesak kerajaan menjaga kebajikan rakyat dengan menangani cabaran kesempitan hidup yang semakin meruncing di negara ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat pula mengusulkan supaya PAS Pusat menerusi ahli-ahli Parlimennya mendesak kerajaan menggubal satu undang-undang yang dinamakan Akta Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam.

Selain itu, Dewan Ulamak PAS Pusat juga mengusulkan agar PAS Pusat menerusi ahli-ahli Parlimen PAS mendesak kerajaan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia supaya jawatan Perdana Menteri hendaklah dalam kalangan warganegara beragama Islam yang melengkapi syarat kepimpinan dalam agama.

Hari kedua Muktamar Tahunan PAS Pusat melabuhkan tirai sebentar tadi dan dijadualkan berakhir tengahari esok.