Home Pusat DMPM Seru Muslimat Contohi Aisyah, Asma’ Dan Nusaibah

DMPM Seru Muslimat Contohi Aisyah, Asma’ Dan Nusaibah

44 views
0
SHARE

DMPM Seru Muslimat Contohi Aisyah, Asma’ Dan Nusaibah

Oleh: Zakiah

ALOR SETAR, 30 April – Agenda Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 diteruskan petang ini dengan perbahasan Ucapan Dasar Presiden oleh wakil Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor.

Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan wanita dalam parti supaya tidak dihadkan dalam gerak kerja pilihan raya sahaja, tetapi katanya muslimat harus diberi ruang memainkan peranan dalam setiap aspek.

“Kita mahu muslimat kita mencontohi Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah; bagaimana Aisyah menjadi perawi hadis, memiliki kefahaman serta berilmu, hingga mampu menjadi pendidik dan perubah dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga mahu mencontohi sirah Asma’ dan Nusaibah R.A yang mempunyai keazaman kukuh membantu perjuangan Rasulullah SAW hingga sanggup menghadapi kepayahan.

Memetik ucapan sama, Ustazah Salamiah Mohd Noor juga menyambut baik keputusan menambah calon muslimat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

“DMPM mengucapkan terima kasih menambahkan calon muslimat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dan ini adalah pengiktirafan kepada wanita,” katanya.

Selain itu, beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap lambakan masalah sosial dan kes-kes penceraian yang menunjukkan kerapuhan institusi keluarga.

“Oleh itu, DMPM mencadangkan supaya PAS Pusat mewujudkan satu lajnah dinamakan Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga serta meletakkan Ketua Muslimat sebagai persiapan menggantikan menteri di Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.”

“Kadang-kadang kita mahu muslimat menjuarai isu semasa, kita mahu muslimat untuk ke hadapan, kita mahu muslimat dikenali, tetapi di mana kita letakkan muslimat sebenarnya?”

Demikian cadangan dan persoalan yang diutarakan beliau disamping meminta kawasan-kawasan agar menambah bilangan muslimat yang menjadi perwakilan ke Muktamar Tahunan PAS.