Home Pusat Wakil Perak Tekankan Hubungan Baik Umarak – Ulamak

Wakil Perak Tekankan Hubungan Baik Umarak – Ulamak

24 views
0
SHARE

Wakil Perak Tekankan Hubungan Baik Umarak – Ulamak

Oleh: Zakiah

ALOR SETAR, 30 April- Agenda Muktamar hari ini diteruskan lagi dengan ucapan disampaikan wakil Perak, yang turut menzahirkan sokongan kepada Ucapan Dasar Presiden semalam.

Perwakilan PAS Perak, YB Radzi Zainon dalam ucapannya mengambil kesempatan mengucapkan takziah atas kejadian angin ribut yang melanda tapak muktamar semalam.

“Saya mewakili PAS Perak mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dalam insiden angin kencang malam tadi; semoga Allah memberikan ketabahan kepada semua,” ujarnya.

Meneruskan ucapan, beliau mengulas Ucapan Dasar Presiden PAS dengan menyentuk bahagian Agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera.

“Agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) adalah pendekatan holistik dalam mentadbir dan bernegara namun mesti berlandaskan konsep ‘syura’ sebagaimana terdapat dalam ajaran Islam.

“PAS Perak ingin menekankan bahawa dalam mentadbir negara, pemimpin dan pemerintah mesti dipenuhi dengan dua aspek; iaitu kecukupan dan keamanan.

“Apabila rakyat di dalam yang kita perintah merasai kecukupan dan keamanan, mereka dapat menumpukan kehidupan mereka ke arah ibadah kepada Tuhan, Allah SWT,” ujarnya.

Selain itu, perwakilan Perak itu juga menjelaskan kepentingan integrasi hubungan antara umarak dengan ulamak yang menjadi kompas atau petunjuk kepada pemimpin dalam memandu rakyat ke arah kehidupan yang sejahtera.

“Sejarah umat Islam di Nusantara ini mencatatkan bahawa ulamak diiktiraf di alam Melayu kerana kesungguhan mereka melengkapkan diri menuntut ilmu agar dapat memenuhi peranan, amanah dan tanggungjawab sebagaimana dapat dilihat dalam kepimpinan ulamak dalam PAS,” tambahnya lagi.

Menurut YB Radzi Zainon lagi, pentadbiran dan pemerintahan mestilah dilaksanakan dengan tujuan, matlamat dan perlaksanaan yang menepati Syariah selain mampu merangkumi segala aspek tanpa mengabaikan integrasi antara aspek tersebut; terutamanya antara aspek rohani dengan fizikal.

Hal ini penting kerana katanya, penekanan kepada aspek rohani, keagamaan dan nilai akhlak mampu mewujudkan negara yang makmur, sejahtera, tayyibah lagi mendapat pengampunan Allah sebagaimana terdapat di dalam Kitab Suci Al-Quran.

Dengan tema ‘Sejahtera Bersama Islam’, Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 bermula semalam di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dan bakal berakhir esok.