Home Pusat Meninggalkan Kedah Dengan Rasa Keharuan

Meninggalkan Kedah Dengan Rasa Keharuan

806 views
0
SHARE

MENINGGALKAN KEDAH DENGAN RASA KEHARUAN.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Kompleks PAS Kota Sarang Semut menjadi saksimata akan perjalanan sebuah harakatul ummah yang sentiasa menjadi bualan hangat warga negara ini. Kompleks yang berdiri diatas tanah seluas 17 ekar ini menampung puluhan ribu perwakilan dan pemerhati yang datang daripada seluruh negara, dengan beragam latarbelakang dan status sosial.

Kedah semenjak tertubuhnya PAS di negeri itu 65 tahun yang lepas telah empat kali menjadi tuan rumah Muktamar PAS Pusat. Muktamar pada kali ini paling menjadi buruan lensa wartawan dan juga pencandu-pencandu politik kerana tragedi ribut dan juga keributan dalam hubungan pemuafakatan politiknya dengan parti yang muncul dengan bantahan awam akibat kezaliman regim Mahathir pada tahun 1998. Media sosial juga bukan kepalang sibuknya bergentayangan dengan memaparkan berita-berita PAS samada positif atau pun negatif.

Tak mudah bagi teman-teman pimpinan dan aktivis Kedah untuk menguruskan program tahunan skala besar ini. Khabarnya berbulan-bulan persiapan rapi dibuat termasuk mengejar masa mendirikan bangunan utama kompleks yang bernilai jutaan ringgit. Urusan kemuncak iaitu sepanjang lima hari ini adalah saat yang kritikal termasuk pasca tragedi ribut yang mencederakan 18 orang pengunjung dan peniaga. Jabatan Amal, PAPISMA,Briged Muslimat dan pelbagai berjaya menguruskan krisis dan bencana dengan sangat teratur.

Namun di sebalik kepenatan panitia Muktamar, terserlah kehebatan sikap orang Kedah sehingga dibualkan oleh warga bukan Kedah. Mereka sangat memuliakan tetamu, hadirlah di teratak mereka, pasti kalian dijamu makan sekenyangnya samada dengan nasi atau pulut tanak. Ruang rumah mereka boleh diparkir kereta bahkan sehingga menawarkan garaj peribadi mereka sendiri.

Saya terdetik rasa terharu melihat seorang pimpinan Dewan Ulama Kedah, Ustaz Fauzi Husain yang menyantuni sehingga hampir 200 orang tetamu selama lima hari, silih berganti. Kompleks pendidikannya padat dengan tetamu seolah seperti ijtimak tarbawi sedang berlangsung, setiap hari bermula dengan kuliah subuh. Manakala isterinya bangkit seawal 4.00 pagi, dibantu oleh anak-anak buahnya memasak makanan untuk sarapan tetamu-tetamu.

Menoleh pula ke arah Dr Fakharuddin, Pesuruhjaya PAS kedah yang juga Pengarah Muktamar. Guratan wajahnya sangat lelah, tidurnya sangat minima dengan dua telefon bimbit diatas mejanya. Berselang seli menyambut panggilan telefon dan memberikan arahan pada anak-anak buah, wajahnya kelihatan serius dengan sesekali melepaskan pandangan pada ribuan perwakilan di dalam Dewan Fadhil Noor.

Haji Sanusi, Timbalan Pesuruhjaya Kedah pada hari kedua muktamar menyandar pada dinding ke lorong tandas Dewan Muktamar. Dia menghela nafas panjang, hari kedua operasi pembersihan gerai yang dilanda taufan. Segalanya perlu ditanggani dengan baik, PAS setiap malam menjadi tajuk utama berita dan menjadi bualan rakyat.

Briged Jeneral (b) Dato Najmi Ahmad, seorang lagi Timbalan PJ PAS Kedah tersenyum di hadapan pintu masuk Dewan Utama Muktamar, menyalami tetamu-tetamu seawal pagi pada hari Muktamar. Sesekali mantan Pengarah Kagat ATM ini melihat ke arah bumbung bangunan utama kompleks PAS kedah yang masih belum disiapkan dan memerlukan dana yang lumayan.

Sepanjang lima hari ini anggota -anggota Jabatan Amal adalah insan yang paling sibuk bertugas tanpa mengira malam atau siang. Wira-wira yang tak didendang ini disimbah hujan, disengat mentari mengawal trafik, mrngawal ketertiban pengunjung, menjaga keselamatan dan menguruskan peristiwa luar jangka yang berlaku.

Pada hari terakhir muktamar, jumlah pengunjung tetap tidak berkurang. Tekun mereka mendengar ucapan penggulungan, sesekali dengan deraian tawa di tengah keseriusan mengunyah dan menghadam maklumat. Apabila tampil Pengerusi Pemilihan, Dato Wan Mutalib Embong dengan diiringi Dr Supyan dan Peguam Wan Rohimi ke rostrum suasana mula berubah. Debaran perwakilan dan pemerhati berakhir dengan pengumuman barisan Naib Presiden serta Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Siapa pun yang menang atau tidak terpilih, harakatul ummah ini mestilah terus dipacu dengan gemilang. PAS adalah harapan ummah, benteng kukuh untuk menjaga deenullah di tanah leluhur ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan)