Home Pusat Usul Putus Hubungan PAS-PKR: Perwakilan Terima Sebulat Suara

Usul Putus Hubungan PAS-PKR: Perwakilan Terima Sebulat Suara

582 views
0
SHARE

Usul Putus Hubungan PAS-PKR: Perwakilan Terima Sebulat Suara

Oleh: All-Mu’izz Abas

ALOR SETAR, 30 April – Suasana muktamar semakin hangat dengan usul Tahaluf Siyasi yang dibentangkan oleh wakil Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Zulkifli Ismail.

Wakil Dewan Ulamak menyatakan bahawa sejarah lalu mencatatkan PAS telah melaksanakan hubungan Tahaluf Siyasi dengan pelbagai pihak sepanjang tempoh perjuangan PAS. Keputusan yang dibuat adalah merujuk kepada panduan yang menjadi rujukan dalam perlembagaan PAS iaitu Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha–Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan).

Beliau terus menjelaskan syarat Tahaluf Siyasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak seperti berikut:

1. Tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam.

2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan Tahaluf.

4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaaluf secara mutlak.

6. Mandat membuat penilaian Tahaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak.

Sepanjang tempoh berlangsungnya Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR ini, sudah terdapat banyak pelanggaran syarat yang berlaku. Penglibatan PKR menyokong calon PAN dan menentang PAS dalam dua pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lepas merupakan antara bukti pelanggaran syarat yang berlaku.

Selain itu, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP yang menentang keras Pindaan Akta
355 ini.

Hubungan Tahaluf Siyasi PAS-PKR semakin keruh apabila pimpinan PKR membuat kenyataan-kenyataan secara terbuka dengan jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS, sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan terhadap rakan tahaluf.

Seluruh perwakilan muktamar sebulat suara menyambut usul putus Tahaluf Siyasi PAS-PKR.

Justeru, Ustaz Zulkifli Ismail mewakili Dewan Ulamak dengan tegasnya bekata hal tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura Ulamak sebagai tindakan akhir.

“Kami mengusulkan supaya Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan PAS,” tegas beliau.

Dewan muktamar terus bergema dengan laungan takbir sejurus kenyataan tegas itu dibuat.

Dengan ini, keputusan terakhir akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak selepas muktamar berakhir.