Home Pusat PAS Yang Lebih Yakin Menuju PRU 14

PAS Yang Lebih Yakin Menuju PRU 14

482 views
0
SHARE

PAS yang lebih yakin menuju PRU 14

Oleh HARIS ZALKAPLI

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada akhir bulan lalu menegaskan dalam satu tulisannya bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan, dalam persediaan membina kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan dalam tempoh setahun.
Kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi ini menjawab dengan kemas dan tegas dakwaan yang telah dimainkan sejak sekurang-kurangnya 2008, satu kempen memburukkan PAS dan juga beliau sendiri sebagai pemimpin utama PAS.
Spekulasi kerjasama ini selain menjawab dakwaan pakatan politik dengan BN, paling utama menolak usaha PH untuk mendesak PAS ke meja rundingan, untuk membina satu pakatan politik seperti Pakatan Rakyat yang ditamatkan untuk menyingkirkan PAS.
Di bawah Pakatan Rakyat – dan dalam pilihan raya umum 2008 yang membawa kepada penubuhan PR – parti-parti DAP, PKR, dan PAS mendapat kemenangan besar, dan penubuhan PH diharap dapat mengekalkan momentum kemenangan, selepas PAS diganti dengan parti serpihannya Parti Amanah Negara, Pan.
Pan, dan sebelumnya Gerakan Harapan Baru, cuba menggantikan kedudukan PAS, dengan menjadi “parti Islam” yang lebih liberal dalam PH, tetapi tidak berjaya dilakukan apabila tidak berlaku penyeberangan beramai-ramai ahli PAS menyertai gerakan yang akhirnya muncul dalam bentuk parti politik Pan.
Penegasan Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan sentimen dan sikap PAS menuju PRU 14 yang ditunggu, dilihat melalui usul-usul dibawa terutamanya di Dewan Ulama dan Pemuda, yang memberi tumpuan pada menamatkan kerjasama politik dengan PKR.
Dewan Ulama dalam kenyataan bertarikh 27 April menegaskan: “Menyedari bahawa PKR telah melanggar begitu banyak syarat-syarat tahaluf siyasi dengan PAS maka Muktamar Dewan Ulama yang bersidang pada 27 April 2017 bersetuju untuk mengusulkan agar tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan perlembagaan PAS.”
Dewan Pemuda turut mengambil pendirian yang sama, selepas usul dibawa oleh wakil Pemuda PAS Terengganu, Abdul Rahman Che Mat disokong dan diterima sebulat suara, menimbulkan isu yang sama iaitu pelanggaran syarat-syarat tahaluf oleh pihak PKR, termasuk tidak menghormati Islam dan “melakukan pelbagai jenis serangan” terhadap Tuan Guru Abdul Hadi.
Keputusan kedua-dua dewan tersebut mengesahkan sentimen yang diperhatikan terutama pada Pemuda PAS sejak beberapa bulan lalu, terutama apabila beberapa pemimpin PKR konsisten mengecam dan mengkritik PAS, pada masa sama menunjukkan hubungan baik dengan Pan.
Presiden PAS beberapa kali menegaskan yang PAS tidak akan bekerjasama dengan parti-parti yang menjalin hubungan dengan DAP dan Pan, ketika tanda tanya berleluasa berhubung kerjasama politik yang ingin dibina PAS menjelang PRU 14.
PAS telah menubuhkan pakatan Gagasan Sejahtera, yang diwujudkan melalui kesepakatan dengan Parti Ikatan, penubuhan yang sepatutnya telah menunjukkan dengan jelas sikap PAS terhadap kedua-dua BN dan PH.
Pada muktamar ini, PAS melalui Dewan Pemuda turut menunjukkan ketegasan berhubung kedudukan wakil parti dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR yang memenangi kerusinya dengan sumbangan yang bukan sedikit daripada PAS.
Ketua Pemuda Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam sidang media pertamanya selepas menjawat jawatan menegaskan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif dalam kerajaan negeri Selangor tidak perlu meletakkan jawatan sekiranya tahaluf siyasi dengan PKR ditamatkan, sekaligus menjawab provokasi terbaru berhubung kedudukan wakil PAS dalam kerajaan Selangor, yang datang dari Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, setiausaha agung PKR yang juga bekerja di bawah ┬áLim Guan Eng dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
Penolakan terhadap PKR ini, yang masih berkongsi kuasa dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor menunjukkan kesediaan dan keyakinan PAS dalam menghadapi PRU 14 nanti, yang mencetuskan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera bagi menarik sokongan pengundi.
Dalam tempoh sama, PPBM pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad turut menunjukkan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan PAS – walaupun pendirian ini dikatakan tidak dipersetujui oleh Mahathir – atas sebab sama yang menjadi pertimbangan parti-parti dalam PH iaitu untuk berkongsi syer pengundi Melayu.
Tarik tali ini berakhir apabila PPBM akhirnya menyertai sepenuhnya PH, yang sebelumnya diadakan satu bentuk kerjasama PPBM dengan PH, membenarkan sentimen yang dirasai oleh ramai dalam PAS mengenai sikap sebenar PPBM, yang hakikatnya mempunyai kepentingan bertentangan dengan PAS, cenderung dengan PH dan mempunyai hubungan baik dengan DAP.
PH hakikatnya masih berusaha untuk menarik PAS ke meja rundingan, terutama selepas Pan dan kemudian PPBM, dua parti serpihan parti Melayu terbesar, tidak berjaya menarik sokongan daripada parti-parti asal mereka.
Pan sebelum ini mengharapkan tarikan Mohamad Sabu dan pemimpin-pemimpin berkecenderungan pasca-Islamis yang keluar daripada PAS dapat membawa keluar peratusan ahli yang cukup untuk menyertai mereka.
Walau bagaimanapun, himpunan protes Bersih 4 telah memberi gambaran awal tentang tarikan dan potensi sebenar Pan melibatkan sokongan ahli PAS dan orang Melayu.
Hal yang sama juga berlaku pada PPBM, yang mengharapkan tarikan Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berimej pejuang Melayu boleh menarik keluar ahli Umno dalam jumlah yang besar. Tetapi ini juga tidak berhasil seperti diharapkan.
Sikap ditunjukkan PAS menampakkan kepentingan orang Melayu dalam politik pilihan raya yang telah dinikmati oleh parti-parti yang beraliansi dengan PAS sejak PR.
Kini PAS yang menyedari kepentingan orang Melayu ini melaksanakan prinsip dan pendekatan yang menepati kepentingan ini, yang salah satu manifestasinya telah diperhatikan pada perhimpunan RUU 355 pada Februari lalu.
Kejayaan ini disempurnakan dengan kejayaan Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen pada April lalu, yang semua parti PH telah menampakkan penentangan keras terhadap pindaan tersebut.
RUU 355 telah memperlihatkan satu kesukaran pada PH, apabila penentangan terhadapnya terpaksa dilunakkan, bertentangan dengan pendirian parti dominan dalam pakatan itu, DAP yang menentang dan mahu semua parti dalam PH sebulat suara menolak pindaan rang undang-undang itu.
Isu RUU 355 ini juga menyumbang besar kepada hala tuju hubungan PAS-PKR, dan menjadi satu hujah pihak dalam PAS yang menyokong usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 ini dilatari perkembangan-perkembangan melibatkan Islam dan orang Melayu yang kini lebih difahami oleh PAS pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi, yang telah memberi isyarat tegas ini sejak sekian lama.
Ketegasan dengan pendirian dan strategi ini membolehkan PAS dengan yakin dapat menanganinya segala pergolakan dan percaturan menuju ke PRU 14.