Home Pusat Muktamar Ke-63: 5 Pengajaran Penting

Muktamar Ke-63: 5 Pengajaran Penting

434 views
0
SHARE

Muktamar ke-63: 5 pengajaran penting
Oleh HARIS ZALKAPLI

Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 telah berjaya disempurnakan, dengan suasana bertekad membawa gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera menuju Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka tidak lama lagi.

Muktamar yang dijangka terakhir sebelum pilihan raya umum ini juga telah memilih barisan pemimpin tertinggi untuk penggal 2017-2019, barisan yang bakal memimpin parti melalui PRU 14 dan hasil daripada pilihan raya itu, tempoh yang sangat mencabar tidak seperti yang pernah dilalui sebelum ini.

Banyak arahan dan isyarat jelas disampaikan dalam muktamar kali ini, daripada ucapan dasar hingga penggulungan, yang sangat penting untuk dilaksana dan difikirkan dengan lebih mendalam dalam usaha memperbaiki dan memajukan parti.

Berikut lima isu, yang dirasakan penting dan sangat perlu diambil perhatian oleh semua.

1. Politik Islam

Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan penolakan terhadap politik yang berpandukan fahaman liberal, pragmatik dan sekular, sehingga meminggirkan al-Quran dan sunnah atau mengambil mana yang boleh dipergunakan sebagai instrumen politik. Tegas beliau, perancangan penyelewengan ilmu ini dilaksanakan terhadap umat Islam.

Fahaman pragmatik ini juga mendorong umat Islam secara tanpa sedar “menjadi bidak di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam.” Tuan Guru turut mempertegaskan kepentingan amanah dalam urusan negara, yang bukan sekadar pada “nama dan slogan.” Beliau juga menegaskan menolak demokrasi palsu dan retorik “kuasa rakyat kuasa keramat” sebagai “bertuhankan rakyat tanpa hidayah.”

Tuan Guru juga mempertegaskan penolakan terhadap politik melampau yang akhirnya merugikan kehidupan rakyat, sambil menjelaskan BPMS sebagai satu pendekatan aman yang selari dengan sirah perjuangan Islam. Dalam ucapan penggulungan, Tuan Guru Presiden dengan jelas PAS tidak boleh bersama dalam kerjasama dengan kumpulan yang melawan Islam, yang jelas bertentangan dengan matlamat PAS.

2. Pemerkasaan parti

“PAS juga sedang melaksanakan pemerkasaan parti terutamanya dari aspek mengukuhkan perjalanan dan organisasi parti, gerak kerja yang lebih berperancangan, objektif mampu capai yang lebih jelas, dan pengukuhan imej PAS sebagai parti yang ingin menyumbang dalam pembinaan negara ini,” jelas Tuan Guru Abdul Hadi dalam ucapan dasar.

Hal ini perlu dengan segera dilaksanakan, meliputi semua organisasi parti termasuk Harakah sebagai satu organ media utama parti. Gesaan ini dikemukakan oleh Tuan Guru Presiden secara jelas dan realistik. Turut ditimbulkan ialah isu penggunaan media sosial oleh pemimpin parti. Perkara ini ditimbulkan semasa perbahasan dan penggulungan, menunjukkan perhatian ramai terhadap pengendalian media sosial oleh parti.

Media sosial ialah salah satu muka hadapan parti, maka sangat penting pengendaliannya dipantau dan dipastikan aktivitinya tidak merugikan dan mencetuskan reaksi negatif orang ramai. Perlu difikirkan garis panduan yang jelas dan spesifik sebagai panduan kepada pemimpin parti terutamanya, berhubung etika pengendaliannya, agar tidak tergelincir sehingga menjejaskan imej peribadi dan parti.

3. Blok ketiga, Gagasan Sejahtera

Tuan Guru Presiden dalam ucapan dasar menegaskan Gagasan Sejahtera agar terus dimantapkan “untuk mendepani suasana politik yang semakin hangat ini.” PAS masih dianggap bersendirian kerana anggota lain Gagasan Sejahtera ialah parti kecil yang jauh lebih kecil daripada parti-parti utama yang pernah bersama PAS sejak dua pilihan raya umum lalu, walaupun suasana dan jangkaan sekarang jauh berbeza dengan dua pilihan raya umum sebelum ini.

Tuan Guru mengatakan, “Agenda yang lebih sistematik dan kemas mestilah dirangkakan sebaik sahaja selesai muktamar kita pada kali ini,” memberi gambaran kepentingan usaha ini dalam menunjukkan PAS tidak bersendirian dan mengetuai satu blok yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk menghadapi PRU 14. Persediaan juga perlu bagi menyampaikan dan menerangkan Wawasan Induk Negara Sejahtera, WINS, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

4. Pemilihan pemimpin dan visi jangka panjang kelangsungan parti

Banyak pihak mencadangkan pemimpin pilihan masing-masing untuk menduduki barisan kepimpinan parti, setiap satunya dengan kelebihan tersendiri mereka. Dalam usaha ini, ada yang berdasarkan pemahaman yang benar tetapi ada juga yang berdasarkan faktor-faktor yang tidak semestinya seperti yang dikemukakan itu, malah mungkin berdasarkan kepentingan kelompok masing-masing. Dalam hal ini, ahli-ahli perlu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang keperluan parti dan umat pada masa kini, seperti yang telah ditunjukkan oleh Tuan Guru Presiden sendiri.

Ahli-ahli perlu memikirkan dengan serius, siapakah yang akan mampu memimpin PAS pada masa akan datang, dengan kemampuan dan keilmuan yang kukuh dan mantap. Apa yang dibawa oleh Tuan Guru Abdul Hadi selama ini ialah gagasan yang paling menepati keperluan umat pada masa ini, dan paling diperlukan dalam zaman yang semakin mencabar kini, di dalam dan di peringkat global.

5. Profesional dan profesionalisme

PAS sewajarnya tidak perlu lagi menceritakan tentang ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kerjaya profesional, atau kelulusan-kelulusan ijazah tinggi sekiranya sekadar untuk memberitahu tentang prestij pemimpin dan ahlinya. Sebagai sebuah parti utama yang kini beraspirasi untuk menjadi parti utama di peringkat persekutuan, hal ini sepatutnya tidak lagi menjadi isu, seperti halnya pada tahun-tahun 1990-an dahulu.

Soalnya sekarang ialah apakah dan di manakah sumbangan ahli-ahli berkemampuan seperti itu dalam memperkasakan organisasi dan imej parti. Walaupun kehadiran golongan profesional penting kepada parti, apa yang lebih penting ialah profesionalisme dalam melaksanakan amanah masing-masing, kerana telah berlaku penglibatan dalam politik mudah menjerumuskan seseorang itu ke arah budaya berpolitik yang tidak sihat, atau sekurang-kurangnya dilanda kesibukan hingga tidak mampu melaksanakan tugas yang diberikan.

Umumnya, PAS telah menunjukkan kemajuan dan kemampuan untuk terus maju walaupun dengan pelbagai cabaran terutama sumber yang terhad.

Hakikat bahawa muktamar berjaya dijalankan di sebuah lokasi yang memerlukan pemulihan dan penambahbaikan segera menunjukkan satu kelebihan PAS yang sukar didapati pada parti-parti lain.

Pengajaran-pengajaran yang telah dapat diperhatikan perlu diberi perhatian, dalam usaha untuk terus memajukan parti, dalam menghadapi PRU 14 hingga ke tahun-tahun mendatang.