Home Pusat Ucapan Penggulungan Presiden PAS

Ucapan Penggulungan Presiden PAS

557 views
0
SHARE

UCAPAN PENGGULUNGAN PRESIDEN PAS
MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-63.
4 Syaaban 1438 / 1 Mei 2017

MUKADDIMAH.

الحمد لله وكفى وصلاة وسلام على عباد الله الذين المصطفى وعلى أكرمهم وأشرفهم حبيبنا وشفيعنا محمد النبي المجتبى وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى.

Yang Dihormati Pengerusi Tetap, Ashabul Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agong, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda & Muslimat, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Yang Dihormati Tan Sri Sheikh Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Pengarah Muktamar PAS ke-63 dan ahli Jawatankuasanya, para Perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya mengucapkan simpati dan perhatian kepada mangsa ribut yang menimpa musibah, merupakan ujian Allah kepada kekasih-Nya dan musuh-Nya. Walaupun kekasih itu dari nabi-nabi dan rasul-rasul, kadang kala ditimpa musibah termasuk musuh-musuhNya ditimpa musibah juga. Yang beriman dan budiman bergantung kepada Allah, diberi pahala dan fadhilat. Yang kufur dan menentang, diseksa di dunia sebelum seksaan akhirat.

Yang kedua, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja. Begitu juga tahniah kepada petugas PAS Negeri Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Dato’ Setiausaha Agong dan anggota-anggotanya, semua jentera, termasuk jentera kerajaan dan bukan kerajaan, polis, bomba, unit pertolongan cemas, hospital dan lain-lain. Terima kasih kepada semua perwakilan dan pemerhati.

Saya respon kepada semua ucapan perbahasan dan usul. Marilah kita menghayati firman Allah Taala:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠ ۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾ [الأنفال: 60-63]

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). (60) Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka condonglah kamu kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.(61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin. (62) Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (63) (Surah Al-Anfal: 60-63)

Inilah petunjuk Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) daripada Allah, bukan rekaan ciptaan kita. Allah memberi hidayah dengan wahyu-Nya dengan dua petunjuk yang penting daripada ayat ini; Pertama, Persediaan mengikut kemampuan. Kedua, Politik perdamaian bukannya ketegangan.
Pertama: Persediaan mengikut kemampuan

1. Anggota daripada ahli yang berjati diri dengan ilmu dan akhlak bersama tarbiyah parti dan tarbiah bersendiri untuk melahirkan sifat kelayakan syakhsiah yang penting.

2. Alat-alat terkini dan kemahirannya.

Mesti ada alat-alat yang cukup. Kalau pilihanraya, alat pilihanraya.

3. Kewangan mengikut kemampuan.

Allah tidak memaksa tapi jangan sembunyikan kemampuan. Orang yang mampu memberi RM10, sumbang RM10, maka diterima Allah. Orang yang mampu 1 juta tetapi beri hanya RM100 ribu, itu menipu. Allah mengetahui kemampuan.

Objektif persiapan ditunjukkan oleh Al-Quranul Karim dengan contoh yang menarik.

Firman Allah:

﴿فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلۡجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبۡتَلِيكُم بِنَهَرٖ فَمَن شَرِبَ مِنۡهُ فَلَيۡسَ مِنِّي وَمَن لَّمۡ يَطۡعَمۡهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّيٓ إِلَّا مَنِ ٱغۡتَرَفَ غُرۡفَةَۢ بِيَدِهِۦۚ فَشَرِبُواْ مِنۡهُ إِلَّا قَلِيلٗا مِّنۡهُمۡۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ قَالُواْ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلۡيَوۡمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦۚ قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَٰقُواْ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٢٤٩﴾ [البقرة: 249]

“Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barang siapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan sahaja, maka ia adalah pengikutku.” Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya.” Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 249)

Para mufassirun mengatakan, Thalut dan Nabi Daud A.S menyediakan 80,000 bala tenteranya dan tentera yang tidak mengikut arahan 76,000. Tentera yang mengikut arahan hanya 4, 000 sahaja.

76 ribu keluar jemaah, makan dedak. Diistilahkan makan dedak. Yang tak keluar tak makan dedak. Yang istiqamah tak makan dedak. Yang buat istilah ini masih hidup lagi. Siapa makan dedak? Orang UMNO tahu. Dengan 4 ribu mencapai kemenangan.

Peristiwa Uhud dengan Nabi membuat keputusan dengan bermesyuarat untuk keluar ke Uhud, bersiap sedia 1000 anggota untuk melawan musuh. Tiba-tiba 300 orang tarik diri kerana cadangan mereka tidak diterima, keluar dari medan perang sama ada yang munafiq atau lemah iman kerana ikut kawan. Akhirnya walaupun peristiwa Uhud menimpa kemenangan tapi Allah mengajar betapa wajib kita beristiqamah, sama ada menang atau kalah.

Kedua: Politik Perdamaian

1. Senario kejayaan dakwah dan politik daripada Sirah Nabawiyyah dan Zaman Khulafa’.

Masa pendamaian telah menyebabkan ramai orang menerima Islam berkali ganda, iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah dan selepas pengampunan beramai-ramai ketika Pembukaan Kota Mekah. Ini berbeza dengan masa perang.

2. Senario Perjuangan PAS.

Sejak tahun 1950-an, saya menyaksikan betapa Islam dihina dan dicerca; “pemerintahan Islam akan huru hara, hudud dilaksakan akan ramai orang cacat, kudung dan sungai jadi busuk kerana banyak orang mati”. Setelah kita mengambil politik perdamaian dan bersabar sehingga menyertai kerajaan campuran 1973, masuk BN 1974 sehingga ditendang. Maka, kesan perjuangan PAS berjaya meranapkan budaya menghina Islam sehingga kita berjaya menembusi orang bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

3. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Tahaluf dan Taawun.

Hari ini senario perjuangan PAS perlu dimantapkan dengan matang dan sejahtera secara pengisytiharan untuk merealisasikan Tahaluf yang sudah dibuat. Ta’awun, Musolahah dengan memilih perdamaian, berhikmah dan, menasihati secara baik dan berdeb at dengan cara yang sopan.

Politik lawan secara bodoh bukan politik Islam. Apatah lagi politik jual ubat ditepi jalan, apatah lagi jual ubat yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan. Ada pengamal media yang melenting dengan politik ini (BPMS), maka pengamal media PAS mesti awas dan berwaspada. Jangan terikut dengan politik mereka. Betapa Islam menunjukkan hidayah dan menangani masyarakat majmuk secara matang dan sejahtera.

Allah menunjukkan dalam al-Quran. Firman Allah:

﴿وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ١٠٨﴾ [الأنعام: 108]

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” [Al-An’am: 108]

Firman Allah:

﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾ [الحج: 40-41]

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” [Al-Hajj: 40-41]

Firman Allah:

﴿۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾ [الممتحنة: 7-9]

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Al-Mumtahanah: 7-9]
PAS TETAP MENJADI GERAKAN ISLAM

Apabila kita bercakap mengenai dakwah dan Jamaah Gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah, kita ingin tegaskan bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS), sejak tahun 1951 telah wujud atas asas dan kesedaran untuk berdakwah dan menyahut tuntutan sebagaimana di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sejak kelahirannya hampir 66 tahun yang lalu, PAS telah meletakkan Islam sebagai dasarnya, iaitu Islam dari segi Undang-Undang Tubuhnya, perjalanannya, perjuangan setiap ahli dan barisan kepimpinannya sehinggalah ke matlamatnya untuk mendaulatkan Islam sepenuhnya di Malaysia, insya’ Allah.

Kemunculan PAS di tengah-tengah masyarakat Malaysia bersama-sama dengan beberapa kumpulan Islam yang lain tetap tidak akan mengubah statusnya sebagai sebuah Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah ) yang utama berdasarkan ciri-ciri berikut:-

(i) PAS adalah sebuah Jamaah Islam yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan islah dan tajdid sepenuhnya di Malaysia;

(ii) PAS adalah Jamaah Islam yang mendokong dan memelihara kesyumulan Islam dan kesejagatannya;

(iii) PAS adalah Jamaah Islam yang bernaung di bawah Kepimpinan Ulamak secara ‘amal jama‘ie dengan menekankan ciri-ciri Hizbullah, parti mendokong ajaran Allah;

(iv) PAS adalah Jamaah Islam yang realistik dan praktikal, berakar umbikan rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat bukan kalangan elit sahaja tetapi adanya ulama’, ilmuan, pemimpin masyarakat, rakyat umum, sehingga bukan Islam, kaya, miskin, upaya (sihat), kurang upaya, alim, buta huruf. Mereka adalah ahli-ahli PAS;

(v) PAS adalah Jamaah Islam yang mengambil bahagian dalam politik tanah air di atas kekuatan dan kemampuannya tersendiri untuk membina sebuah ummah. Hari ini PAS punya 195 kawasan dan 7500 cawangan.

Maka tidak ada siapa boleh menjadikan PAS sebagai hotel persinggahan, hotel tumpangan untuk singgah sementara untuk menumpang, barangsiapa yang menumpang, ada masa aircond berjalan, ada masa aircond mati, bila aircond mati mereka akan berambus.

Kemunculan PAS sebagai sebuah parti politik yang bertanding dalam sebuah sistem demokrasi moden tidak mengubah kedudukannya sebagai sebuah Gerakan Islam semasa, sama seperti Gerakan-Gerakan Islam sedunia lainnya yang turut bertanding dalam sistem pilihanraya demokrasi moden. Dalam hal ini PAS mengambil kaedah Syara’ yang mengizinkannya bertanding di dalam Pilihanraya Umum setempat dengan maksud untuk memberikan suara Islam kepada rakyat semuanya.

Demokrasi yang diamalkan kini akan mengizinkan kita mewakili rakyat secara demokratik mengikut Perlembagaan Negara dan undang-undang. Oleh kerana itu, kita minta ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), sila buat kajian terhadap parti-parti lain. Adakah mereka menghormati perlembagaan? Adakah mereka mengikuti peraturan atau tidak? Contohnya Islam sebagai agama persekutuan, adakah mereka hormat atau tidak? Raja Berperlembagaan, mereka hormat atau tidak? Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, mereka hormat atau tidak? Hak bumiputera, Melayu, Jawa, Bugis, penduduk asal semenanjung dan bumiputera di Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati mengikut perlembagaan, mereka hormat atau tidak? Ada yang cuba nak koyak asas perlembagaan, maka saya minta supaya ROS kaji parti mana.

PAS: DAKWAH DAN PENTAS POLITIK, BERPISAH TIADA

Sidang Muktamirin yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya, telah termaktub dalam Perlembagaan PAS dan amatlah jelas bahawa dasar perjuangan PAS adalah Islam sebagaimana yang tertera dalam perlembagaannya dan tujuan penubuhannya adalah semata-mata untuk Islam.

Menyingkap lipatan sejarah kemunculan PAS, kita dapati menjelang bulan Januari 1955 pada Pilihanraya pertama, PAS semakin diminati oleh bukan sahaja golongan ulamak yang mengasaskannya, bahkan juga golongan intelektual sudah terlibat seawal tahun 1955. Ini semakin meyakinkan PAS untuk bertanding dalam pilihanraya pertama bersendirian di atas tiket PAS dan sanggup menentang mana-mana parti politik yang lain hatta UMNO itu sendiri PAS lawan, yang turut dianggotai oleh umat Melayu-Islam kerana berbeza pendekatan. Walaupun berbeza dan berlawan, namun jangan rosakkan keharmonian masyarakat dan persaudaraan. Kalau terlanjur, kena tarik ‘handbrake’, ada batas dalam berbalah dan bertengkar, ini PAS. Al-Quran mengajar:

﴿۞وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودٗاۚ ٦٥﴾ [الأعراف: 65]

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud “(65) [Al-A’raf: 65]

﴿وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَٰلِحٗاۚ ٧٣﴾ [الأعراف: 73]

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.” [Al-A’raf: 73]

Kaum Thamud diutuskan untuk saudara mereka iaitu Nabi Soleh. Tidak boleh dibanding dengan kaum ‘Ad dan Thamud yang lebih teruk lagi tetapi Allah menggunakan perkataan أخاهم (saudara), ini ukhuwwah.

Penerjunan PAS dalam kancah politik tanah air tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk mempertahan hasrat pengundi Muslim yang ingin mendaulatkan Islam menerusi perbahasan matang dan sejahtera di Dewan Rakyat.

Kita juga melihat betapa ada kesannya, biizni’Llah, bagaimana pada tahun 2016 yang lalu, dengan tema “Budaya Politik Matang dan Sejahtera”, kita berjaya kemukakan suatu wacana politik sihat yang memikat semua parti politik yang bersaing di pentas pilihanraya yang sama setiap penggal. Kita lihat di sana, bukan satu, bukan dua tetapi tiga parti politik yang berusaha begitu gigih memujuk kita untuk bertahalluf dengannya. Namun, kita tolak. Dahulunya mereka kata mereka boleh “agree to disagree” tetapi rupanya mereka nak peralat kita untuk penuhi agenda mereka. Mana mungkin kita boleh agree untuk orang menentang Islam yang kita bawa?

Masih segar dalam ingatan kita semua setahun yang lalu di Kota Bharu yang bersejarah itu, di mana kita telah ungkapkan suatu keputusan Majlis Syura Ulamak PAS sebagaimana berikut:

“Bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya”

Untuk maksud itu, di dalam Muktamar yang sama kita telah katakan bahawa:

“Kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat. Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah, dakwah, siyasah oleh kepimpinan PAS”.

Kita juga dapati, dengan izin Allah SWT, apa yang selama berdekad-dekad dianggap “musuh politik nombor wahid (satu) PAS selama ini” kini sudah bersedia memahami kita. Sebagai sebuah Parti Islam yang memahami maksud surah al-Anfal yang kita bacakan awal-awal tadi, maka PAS menyambut kerjasama berkenaan dengan kerjasama atas perkara baik dan taqwa, bukan perkara dosa dan permusuhan (وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان (

PAS BENTANG USUL RUU 355

Sidang Muktamimirin yang dikasihi sekalian,

Dengan hidayah Allah, dibentang usul rang undang-undang 355, tanggal 6 April 2017 itu telah menyaksikan suara hati kita dilontarkan di hadapan semua wakil rayat yang hadir sehinggakan YB Tan Sri Speaker di akhir sesi Sidang Parlimen tersebut, mengakui amat faham dengan isi kandungan, tujuan serta huraiannya. Lantaran itu, beliau telah membuat keputusan berdasarkan kuasa yang sedia ada padanya, untuk menangguhkan sidang tanpa bahas ke atas Usul RUU 355 yang baru dibentangkan itu supaya lebih difahami dengan diberi lebih masa.

Dalam hal ini, bersesuaian dengan manhaj muwajahah silmiyyah yang kita amalkan sekian lama sebagai salah satu pendekatan siyasah syar‘iyyah, kita berterima kasih kepada kerajaan yang memberi laluan yang sangat berharga lagi bermakna kepada Islam untuk PAS kemukakan Usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi maksud meminda Akta 355 sedia ada di Dewan Rakyat. Sesungguhnya kerjasama ini tidak akan kita lupakan dan semoga Allah permudahkan laluan seterusnya.

Dan kemarahan kita, ingat pesanan Nabi:

من لم يشكر الناس، لم يشكر الله (رواه أحمد والبيهقي)

“Barangsiapa yang tidak pandai berterima kasih pada orang, tidak bersyukur kepada Allah”

Mengungkap kembali detik-detik terakhir dalam Sidang Dewan Rakyat 6 April 2017 yang lalu, PAS telah mengingatkan semua wakil rakyat yang saya tegaskan:

“Jangan permainkan-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di mana DYMM SPB Yang DiPertuan Agong telah mengangkat Sumpah Jawatan akan memelihara Agama Islam selaku Agama Negara. Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia dan PAS akan terus membawa obor Mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada”

YB Kota Bharu, Dato’ Setiausaha Agong juga telah menyokong dan memperincikan kandungan serta kepentingan Akta 355 itu dipinda kepada batas hukuman yang dicadangkan, iaitu penjara tidak melebihi 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan syarie (bukan sebatan sivil) yang mendidik bukan menyeksa tidak melebihi 100 kali. PAS juga telah bersedia untuk membahaskannya menerusi YB-YB yang sudah ditugaskan dengan segala hujah dan dokumen. Namun demikian, Allah SWT mentakdirkan dewan ditangguh. Ini kehendak Allah.

Namun Allah ‘Azza wa Jalla telah mentakdirkan lanskap politik pembentangan RUU 355 di Parlimen terjadi sedemikian rupa. Episod penentangan terhadap usaha membentangkan RUU 355 berkenaan kini terpahat dalam hansard Parlimen dan lipatan sejarah negara. Seluruh rakyat juga telah menjadi saksi di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla betapa takut dan bimbang malah begitu benci dan marah barangkali di kalangan wakil-wakil tertentu terhadap usaha untuk membentangkannya. Ada di kalangan mereka yang bangkit bertalu-talu untuk melewat-lewatkan masa pembentangannya, mengelencongkan perbincangan, menghalang pembentangan dan bermacam lagi sehingga bertelagah dengan YB Tan Sri Speaker yang mengatur-carakan majlis sehingga petang itu.

Jika dianalisa secara terperinci, isunya bukan sekadar pembentangan RUU 355 diutamakan berbanding urusan kerajaan yang masih belum habis dibincangkan. Ia adalah mengikut persetujuan kerajaan membenarkan Usul tersebut yang sudah dua kali dibentangkan tetapi tidak dibahaskan. Oleh itu, Tan Sri Yang DiPertua Speaker Dewan Rakyat telah menggunakan kuasa penuhnya membenarkan RUU 355 dibentangkan oleh PAS dan disokong dengan huraian oleh wakil Ahli Parlimen PAS yang hadir ketika itu.

Kita sebenarnya berasa amat sedih apabila kita perhatikan akhlak murahan yang diperlihatkan oleh Ahli-Ahli Parlimen termasuk yang beragama Islam yang membantah pembentangan RUU 355 berkenaan. Aksi terjerit-jerit melaung kata-kata kurang sopan dan kurang ajar bukanlah identiti seorang Ahli Parlimen sejati yang dilantik secara sah dalam pilihanraya umum oleh rakyat. Betapa mereka amat marahkan PAS dan cadangan PAS untuk memartabatkan Islam menerusi Usul tersebut, telah dirakam dan dihalang sebegitu rupa walaupun akhir-akhir ini suara-suara “tarik handbrake” dan “u-turn” mula kedengaran. Bukan berani kerana benar tapi takut kerana salah.

Saya hadiahkan pantun Almarhum Profesor Zulkifli Mohamad, Mantan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS:

Melukut di tepi gantang,
Buka sanggul cari kutu,
Bila takut akalpun hilang,
Jumpa tunggul disangkakan hantu.

RUU 355 ini adalah tunggul yang dipacak, bukan melaksanakan undang-undang, Sudah takut pada tunggul.

Sebaliknya, dalam hal ini kita amat menghormati wakil-wakil rakyat daripada kerajaan dan bukan kerajaan yang berjaya memperlihatkan sikap rasional termasuk wakil rakyat yang bukan Islam, memahami konteks perbincangan, wajar dan gentleman mereka dengan mengemukakan pandangan dan pertanyaan yang matang lagi relevan kepada usul yang dibentangkan. Syukur Alhamdulillah, pendekatan politik matang dan sejahtera kita disambut baik dengan penuh rasa ta’zim.
KEPIMPINAN ISLAM DAN ‘AMAL JAMA‘IE

Dengan Izin Allah SWT jua, kita bersyukur bahawa kita telah berjaya bersuara di Dewan Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Di mana kita berada walaupun satu kerusi sahaja seperti di Melaka satu kerusi. Namun kita mesti ingat bahawa ia bukan sahaja berupa anugerah malah ia lebih bersifat mehnah (Ujian) Allah SWT ke atas kita. Demi sesungguhnya ia juga adalah amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas pundak kita setelah kita sanggup merentasi gelombang politik tanah air dalam usaha kita untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Malaysia yang kita sayangi.

Oleh sebab prinsip dakwah kita dalam PAS akan menjadi lebih berkesan dilaksanakan secara kolektif (jama‘ie), maka aspek menyusun tanzim jamaah berdasarkan konsep ‘Amal Jama‘ie menjadi sangat penting. Pengalaman ulamak haraki berpengalaman telah menghuraikan empat elemen utama yang memastikan kejayaan jamaah mencapai matlamatnya berdasarkan ‘Amal Jama‘ie, iaitu:

1) Pemimpin الإمارة))
2) Syura (الشورى)
3) Ketaatan Anggota (الطا عة)
4) Janji Kesetiaan (البيعة)

Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan yang mengendalikan teraju kepimpinan jamaah itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepimpinan. Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepimpinan yang baik.

Dengan wujudnya pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan beradab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff Jamaah Harakah Islamiyyah yang tersusun kukuh.

Di sinilah letaknya persoalan at-Tha‘ah dan al-Wala’ (kesetiaan) yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada jamaah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui Jamaah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ yang sedia ada.

Kita banyak contoh dalam sejarah, antara lain bagaimana Panglima Khalid al-Walid diarahkan oleh Khalifah ’Umar al-Khattab supaya mematuhi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai ketuanya walaupun jelas Khalid al-Walid lebih terserlah dalam aspek ketenteraan daripada Abu ‘Ubaidah tetapi sempadan negera yang sudah besar dan masyarakatnya lebih majmuk, Abu ‘Ubaidah adalah orang yang paling layak. Maka terus melaksanakan tugas dengan setia.

Kaab bin Malik dan rakan-rakannya yang tersilap dalam Perang Tabuk dipulau oleh Nabi dan sahabat-sahabatnya, tak keluar daripada Jemaah walaupun dipulau dan tak tinggal jemaah.

Dalam sejarah PAS banyak peristiwa, mereka yang telah mati; Dr. Abbas Alias, Ustaz Hassan Syukri, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Almarhum Tuan Guru Haji Harun Taib. Dipilih atau tak dipilih tetap bersama Jemaah. Dipilih dalam muktamar, menjadi ahli biasa. Dr. Abbas Alias terus hadir sampai akhir hayat, Presiden PAS yang kedua, turun jadi AJK PAS Pusat, turun jadi ahli biasa, tetap hadir Muktamar PAS. Ustaz Hassan Syukri bertanding Timbalan Presiden, tidak dipilih dan terus bersama PAS dan berkhidmat dengan PAS. Almarhum Ustaz Harun Taib begitu juga. Ustaz Abu Bakar Hamzah diambil tindakan disiplin dan dipecat ahli PAS sebab suka buat kenyataan sendiri. Walaupun dipecat, tetap bergantung pada PAS, tak pergi parti lain, tak buat parti lain, akhirnya kembali balik.

Yang masih hidup, Dr. Daeng Sanusi, Hj. Subky Latif dan lain-lain. Dr. Daeng Sanusi pahlawan panglima bugis, ulama’, seorang yang tegas, tidak dipilih dan jadi ahli biasa terus bersama PAS dan diberi penghormatan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Hj. Subky Latif ajk PAS Pusat, PJ Wilayah Persekutuan, Pengarah Harakah, tak jadi pengarah dan terus menulis untuk harakah.

Demi sesungguhnya, Allah SWt telah mentanzilkan al-Quranul’l-Karim sebagai panduan hidup sepanjang hayat, bukan saja untuk umur kita didunia tetapi umur dunia ini sehingga Hari Kiamat.

Jangan lupakan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta ilmu warisan para ulama kerana asyikkan media baru yang sangat mengodakan kita sehingga lupakan sempadan hidayah Allah.
Akhirnya saya mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang sudah dipilih dengan menyebut Saiyyidul Qaumi Khadimuhum (Pemimpin adalah khadam) Ini budaya kita Islam. Yang tidak dipilih tetap berada bersama PAS sehingga ke matlamat bahagia dunia akhirat.

Semoga selamat pulang dengan mendapat perlindungan dan rahmat Allah.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُُ

Dato’ Seri tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PAS