Home Muktamar62 Artikel Ada Apa Dengan Kostum Pendekar

Ada Apa Dengan Kostum Pendekar

222
SHARE

 

Mungkin ada yang menganggap pemakaian kostum pahlawan melayu sewaktu perasmian pemuda tadi hanya sekadar gimik biasa. Ada juga yang memandang lekeh dan tidak kurang yang menjadikannya modal untuk memfitnah. Biarlah apa orang nak kata. Tapi saya memiliki sudut pandang berbeza dari hal ini.

Pertama, pakaian tersebut bukan sekadar pakaian melayu biasa. Sebaliknya ia adalah pakaian ‘pahlawan’ melayu. Ia mengembalikan nostalgia semangat kepahlawanan pendekar dahulu kala yang tercatit dalam lipatan sejarah alam melayu.

Mungkin ramai yang sudah melupakan keagungan tamadun umat melayu dahulu kala. Dahulu, melayu memiliki ’empayar’ sendiri yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka. Kesultanan yang diasaskan seawal tahun 1262 masihi ini meliputi tanah melayu Malaysia, sebahagian Indonesia dan Thailand. Menurut riwayat, ia diasaskan oleh Parameswara.

Kesultanan Melayu Melaka adalah antara kuasa besar dunia yang disegani suatu masa dahulu. Walaupun cuba diserang oleh berbagai kerajaan seperti Siam dan Portugis, kerajaan ini berjaya bertahan lebih dari 3 abad. Melaka menjadi pusat tumpuan dunia dan pelabuhan yang pesat kegiatan ekonominya sehingga seorang pengkaji barat, Duarte Barbosa berkata :
“Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia”.

Apabila kita mengenang sejarah kesultanan melayu melaka, pastinya kita perlu menghargai jasa agama Islam yang telah berjaya mengangkat martabat orang melayu. Sebelum kesultanan ini, orang melayu diperintah oleh beberapa kerajaan seperti Srivijaya, Gangga negara dan Temasik tetapi tidak sehebat kesultanana melayu melaka. Puncanya adalah kerana meletakkan Islam sebagai asas politik dan pentadbiran negara.

Nama melaka sendiri berasal dari bahasa al-Quran iaitu Malqa (ملقى) bermaksud tempat pertemuan. Sememangnya kedudukan melaka sangat strategik di perairan yang menemukan kapal-kapal besar dan pedagang antara barat dan timur Asia. Satu lagi nama seakan melaka adalah malaga, berada di Sepanyol membuktikan tamadun Sepanyol yang berasal dari Islam, dahulunya dikenali sebagai Malaga. Ia juga adalah pusat kegiatan utama kerajaan Andalusia.

Perkara kedua yang menarik untuk diperhatikan adalah pakaian pendekar melayu kita seiras dengan kostum pasukan Jannisary Uthmaniah. Jannisary adalah skuad elit yang ditubuhkan oleh Sultan Murad 1 tahun 1383 bertujuan untuk melaksanakan misi-misi kerajaan Uthmaniah berprofil tinggi.

Uthmaniah adalah sebuah empayar Islam paling lama dan luas dalam sejarah. Ia diperintah oleh kaum Turki. Sebelum menerima Islam, kaum tersebut tidak dikenali tetapi selepas memilih Islam sebagai agama dan cara hidup, mereka membangun pesat sehingga berjaya menawan pusat pemerintahan kebanggaan Rom Byzantine, Costantinople.

Dipercayai skuad Janissary inilah yang dipilih Sultan Muhammad al-Fateh untuk menjadi tentera yang membuka kota Costantinople. Walaupun mereka berasal dari sekumpulan hamba, tetapi dengan Islam mereka melakar sejarah penuh bermakna.

Kebetulan atau terancang, pakaian yang dipilih oleh pimpinan pemuda sangat signifikan dalam tempoh pemerkasaan Islam hari ini. Walaupun ia hanya sekadar pakaian, tetapi cukup untuk mengimbau kegemilangan silam yang mampu menaikkan semangat untuk kembali gemilang seperti sebelum ini.

Apatah lagi dizaman Islam kembali bangkit hari ini, perlu ada semangat kepahlawanan untuk memimpin ummah lebih berani mencari identiti sebenar mereka. Bukan untuk berlawan atau bermusuh, tetapi sebagai lambang keberanian supaya orang Islam bangkit dari ketakutan yang selama menghantui minda.

Dengan keadaan Timur Tengah semakin kelam kabut dari sudut politik mahupun gerakan Islamnya, Turki bergelut antara kepentingan EU atau ummah, parti an-Nahdhah Tunisia pula menjadi gerakan Islam terkini dilanda serangan Islam demokrat, apakah kali ini pewaris empayar kesultanan melayu melaka pula akan memimpin umat dunia? Tegakkan Islam, dunia milikmu!

(Alang Ibn Shukrimun)