Home Muktamar62 Artikel Ahli PAS Mesti Yakin Dengan Akidah Perjuangan

Ahli PAS Mesti Yakin Dengan Akidah Perjuangan

94
SHARE

 

KOTA BHARU – Agenda perbahasan ucapan dasar Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sempena Muktamar PAS Kali Ke-62 diteruskan dengan perbahasan wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Ahmad Fadhil Shaari malam tadi.

Di bawah subtopik ‘Tugas Kita Sebagai Anggota Harakatul Islamiyah’, Ketua Penerangan DPPM itu telah menggariskan 5 tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dihadam oleh ahli PAS.

Pendukung PAS mestilah sentiasa mempertahankan akidah perjuangan serta yakin bahawa PAS bergerak dengan akidah perjuangan bertunjangkan syahadah.

Demikian tegas beliau ketika perbahasannya bahkan turut mengingatkan ahli perlu yakin bahawa matlamat perjuangan PAS adalah untuk mendapat keredhaan Allah.

“Bukan kita tidak inginkan kemenangan, bukan kita tidak dambakan kemenangan, tetapi kita mahu pembukaan pintu Putrajaya bersama terbukanya pintu syurga Allah SWT; inilah prinsip yang sepatutnya kita pegang.

“Dengan berpegang kepada prinsip itu, Allah SWT akan membantu perjuangan PAS sebagaimana dalam hadis yang bermaksud:

“Wahai anakandaku, jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu; jagalah Allah dan kamu akan dapati Allah bersama-sama denganmu.

“Ketahuilah sekiranya seluruh manusia ini berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kecuali perkara yang telah ditulis oleh Allah.

“Dan sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi mudarat kepadamu kecuali apa yang telah ditulis oleh Allah.

“Sesungguhnya qalam takdir telah ditulis dan dakwat telah dikeringkan oleh Allah.”

Tanggungjawab ahli gerakan Islam PAS yang seterusnya adalah beristiqamah memastikan perlaksanaan syariah yang syumul.

Katanya, jangan jadi seperti kumpulan-kumpulan pasca-Islamisme yang lain yang menukar prinsip bila berdepan dengan senario yang pelbagai.

Beliau lantas menegaskan bahawa perlakuan pengkhianat-pengkhianat yang menikam PAS dari belakang serta melanggar janji dan sumpah pasti akan ditulis dalam sejarah.

Dalam pada itu, menerusi serangkap pantun, beliau turut menyeru mereka yang lari dari PAS kerana kejahilan dan tidak mengetahui kedudukan sebenar agar kembali kepada jama’ah itu.

“Dari haruan bermain di pantai,
Baik keli berdiam di sarang;
Dari tuan duduk mengintai,
Baik tuan mengisi borang.”