Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat AMEERAH Terengganu Ketengah Masakan Tradisi

AMEERAH Terengganu Ketengah Masakan Tradisi

19
SHARE

AMEERAH Terengganu Ketengah Masakan Tradisi

Oleh: Ibnat Hannan

KUALA TERENGGANU, 14 Sept – Nasi dagang dan keropok lekor sememangnya sinonim dengan negeri tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Kali ke-64; Terengganu Darul Iman, malahan dua juadah ini pasti menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara.

Sehubungan itu, AMEERAH Negeri Terengganu mengambil inisiatif mengadakan demonstrasi menyediakan dan memasak dua hidangan tradisi itu sempena Muktamar Tahunan PAS pada tahun ini.

Program ‘Maghi Masok Nasi Dagang Dan Kepok Lekor Bersama AMEERAH Terengganu’ itu akan diadakan pada hari Ahad, 16 September 2018 bertempat di pentas luar Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Lebih menarik lagi, pihak penganjur turut akan mengadakan cabutan bertuah bagi memeriahkan program yang bakal berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari itu.

AMEERAH adalah sebuah entiti dalam Dewan Muslimat PAS yang menggiatkan kesedaran politik dalam kalangan generasi wanita muda, menanamkan semangat patriotisme dan meningkatkan partisipasi golongan tersebut dalam masyarakat.

Dengan ‘Misi 3P: Politik, Patriotisme, Partisipasi’, entiti tersebut telah menjalankan pelbagai aktiviti dan program bagi mendekatkan pelbagai golongan terutama wanita muda dengan politik serta PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang holistik.