Home Muktamar62 Artikel Anak Muda Mangsa Kegagalan BN

Anak Muda Mangsa Kegagalan BN

133
SHARE

 

KOTA BHARU: PAS memandang serius isu pengangguran graduan yang dilaporkan semakin meningkat disebabkan kegagalan kerajaan melaksanakan dasar untuk menyediakan ruang pekerjaan kepada golongan itu.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antaranya tindakan kerajaan melanjutkan tempoh persaraan kaki tangan perkhidmatan awam.

Jelasnya, keputusan itu menyebabkan graduan terpaksa menanti kekosongan jawatan.

“Sedangkan mereka berdepan kemelut hutang PTPTN, diburu dan disenarai hitam nama. Bagi PAS kerajaan perlu sediakan ruang pekerjaan pada mereka, tetapi gagal sedia.

“Jadi kita gesa batalkan hutang PTPTN ini. Ini bukan isu mahasiswa pilihan pekerjaan, tapi tiada penyelesaian terhadap masalah ini,” bidasnya.

Katanya, PAS bukan hendak meminta perkara baru, tetapi peruntukan pendidikan itu ada dalam Perlembagaan Negara dan biasiswa untuk anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang.

Menurutnya, hari ini ibu bapa berdepan masalah kewangan untuk membiayai pendidikan anak-anak berpunca dari kegagalan kerajaan menyelesaikan segera kemelut ekonomi.

Dato’ Tuan Ibrahim turut menempelak kegagalan BN meletakkan dasar dan masa depan untuk anak muda negara ini.

“Ke mana perlu dibawa? Tiada dasar yang jelas. Anak muda sering disua dan didombakan dengan nilai hiburan dan sukan keterlaluan. PAS bukan menentang, tetapi kena ingat generasi muda mesti dibina dengan kekuatan.

“Isu dadah, jelas menunjukkan kerajaan gagal. Buka 10 Pusat Serenti pun, penagih dadah di negara kita sudah lebih 2 juta orang. Apa penyesaiannya?” persoal beliau.

Sehubungan itu tegasnya, penyelesaian diaju PAS bukan dengan hanya menurunkan Perdana Menteri, tetapi menggantikan sistem yang korup.

Iaitulah tegas beliau, penyelesaian menyeluruh meliputi dasar dan sistem yakni meruntuhkan jahiliyyah dan mendirikan Islam di atas runtuhan itu.

Tambah beliau lagi, apabila PAS mengemukakan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, PAS mengharapkan anak-anak muda, NGO dan lain-lain menjadi rakan dialog terbaik dalam mencari penyelesaian masalah negara.

“Bukan hanya tahu menentang, tapi kemukakan penyelesaian. Rakyat dah tak mahu tengok kata ini tak boleh, itu tak boleh. Tapi bagaimana penyelesaiannya?

“Kita selesai selaras dengan sifat kita sebagai kerajaan menanti,” ujarnya disambut laungan takbir muktamirin.