Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Muslimat Belia dan Sukan: Melaka Seru Kembali Kepada Islam

Belia dan Sukan: Melaka Seru Kembali Kepada Islam

152
SHARE

Belia dan Sukan: Melaka Seru Kembali Kepada Islam

Oleh: Ibnat Hannan

KUANTAN, 15 Jun – “Islam sangat mementingkan kesihatan dan kekuatan fizikal umatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW, orang beriman yang kuat lebih disukai oleh Allah berbanding orang Islam yang lemah,” demikian Pn Hawa binti Yaakub memulakan ucapan penangguhannya bertemakan ‘Belia dan Sukan’ mewakili DMPN Melaka di Muktamar DMPM kali ke-59 petang tadi.

“Walau bagaimanapun, segala aktiviti yang dilakukan mestilah mematuhi ketetapan syarak seperti batas – batas aurat, ikhtilat, menjaga solat dan menghindari segala bentuk perjudian dan perkara haram yang lain, ” tambahnya.

Beliau kemudian mengimbas insiden penarikan diri atlet Judo Indonesia di saat – saat akhir kerana peraturan tidak boleh memakai tudung ketika Asia Para-Games tahun lalu.

Ujarnya, atlet tersebut, Miftahul Jannah dari Aceh, wajar menjadi contoh semua atlet muslimah seluruh dunia yang mengutamakan kehendak Allah SWT berbanding perkara lain.

Di samping itu, beliau turut menarik perhatian para hadirin tentang kedudukan para belia yang mengingati Allah SWT berbanding golongan yang lain.

Malangnya, kini, ramai belia yang terikut – ikut arus modenisme negatif serta liberal hingga lebih mengutamakan ‘like’ di media sosial berbanding keredaan Allah SWT.

“Saya menyeru agar kita memfokuskan gerak kerja untuk mengajak kembali golongan belia supaya kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar,” ujarnya sambil menyebut beberapa figura pemuda pemudi yang wajar menjadi contoh teladan para remaja seperti Aisyah ra, Saidina Ali ra serta Sultan Muhammad Al-Fateh.

Katanya lagi, sejarah emas pemuda pemudi contoh ini wajar diwacanakan serta dikongsi kepada umum agar para belia kini tidak hanya memandang tinggi kepada tokoh – tokoh barat dan liberal hingga melupakan jatidiri selaku umat Islam.