Home Muktamar62 Artikel BN Sudah Hilang Kelayakan Untuk Mentadbir Negara

BN Sudah Hilang Kelayakan Untuk Mentadbir Negara

106
SHARE

KOTA BHARU, 3 Jun : Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) malam semalam, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa tidak mungkin berlaku penggabungan PAS dan UMNO, bahkan PAS komited menjadi pengganti Barisan Nasional (BN) yang dilihat gagal membebaskan rakyat daripada pelbagai cengkaman ekonomi dan sosial.

“Harus diingat bahawa masa depan negara adalah bersama dengan PAS, BN sudah hilang kelayakan untuk mentadbir negara.”

“Justeru, gerak kerja Parti seluruhnya hendaklah berfokus kepada menggantikan sistem yang ada kepada sistem yang patuh syariah. Sudah pasti ia tidak akan tercapai hanya dengan menyalin pemimpin yang rosak kepada pemimpin yang punah. Kita percaya, jalan yang terbaik adalah dengan merehatkan Barisan Nasional daripada mentadbir Negara.”

Beliau yang juga Ketua Penerangan DPPM telah menggariskan beberapa tanggungjawab ahli dan pendukung PAS antaranya adalah murunah dan fleksibel dalam pendekatan, sebagaimana yang tersirat dalam ucapan dasar pagi semalam di bawah subtopik “Tugas Kita Sebagai Anggota Harakatul Islamiyah”.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah kita perkenalkan alhamdulillah ini telah mendapat sambutan dan menjadi berita yang hangat diperkatakan. Kita melakukan pelbagai pendekatan dan membuat pelbagai pembaharuan, soal tohmahan-tohmahan itu perkara yang biasa.”

Tanggungjawab serta kewajipan ahli dan pendokong PAS yang seterusnya adalah bijaksana di dalam berdakwah sebagaimana yang cuba diusahakan DPPM dengan mewujudkan engagement dengan pelbagai lapisan masyarakat dengan penubuhan ARC, ACC, DARC dan lain-lain.

Di akhir perbahasan beliau, DPPM turut menzahirkan kesungguhan dan kesetiaan untuk bersama-sama dengan pimpinan selagi berjuang di atas kebenaran.