Home Muktamar PAS Ke 64 “BPMS Rahsia Ketahanan PAS Yang Tidak Pernah Diharamkan”

“BPMS Rahsia Ketahanan PAS Yang Tidak Pernah Diharamkan”

3
0
SHARE

Oleh: Asmaa Yusof

KUALA TERENGGANU, 15 Sept – PAS konsisten untuk memilih pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan semua pihak.

Demikian jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerusi ucapan dasar muktamar beliau.

Ulasnya, pendekatan BPMS merangkumi aspek keseluruhan iaitu bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara dan juga kesediaan untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

“Allah SWT telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak generasi pertama yang ditugaskan untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam diantaranya melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong) dalam perkara baik dan taqwa (mentaati Allah), serta terus beristiqamah di atas dasar Islam dengan matlamatnya untuk menegakkan Islam.

“Konsep ini juga dipanjangkan dalam hubungan masyarakat majmuk dalam satu negara, walaupun berbeza agama dan bangsa, di samping dilakukan juga dalam hubungan luar negara.

“Objektifnya adalah untuk memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal (fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan, walaupun menunggu masa yang lama,” katanya.

Tuan Guru juga menyatakan Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman, tanpa meninggalkan prinsip aqidah dan syariat Islam.

Tegasnya, Tahaluf dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut; melakukan maksiat atau mencetuskan permusuhan atau mengundang apa sahaja keburukan.

Tambahnya, PAS tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya, dan PAS juga menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.

“PAS tetap mengambil pendekatan Politik Damai dengan semua pihak termasuk musuh dan lawan, kerana inilah caranya untuk meramaikan ahli dan penyokong, serta menjadi rahsia ketahanan PAS yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhannya, berbeza dengan pengalaman gerakan Islam di negara lain.

“Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, PAS wajib berijtihad berlandaskan hukum Islam dan menguasai feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran,” ucapnya.