Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda ‘Demi Islam’ PAS pernah bersama, berseteru Umno

‘Demi Islam’ PAS pernah bersama, berseteru Umno

49
SHARE
KUANTAN: PAS pernah mendepani kerjasama politik, tahaluf mahupun taawun siyasi dengan rakan dan bekas musuh semata-mata atas dasar Islam.
Dari sudut kerjasama politik, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, PAS pernah menyertai Parti Perikatan pada tahun 1973.
Terangnya, PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan tujuan menjamin kestabilan politik negara pasca peristiwa 13 Mei 1969 sebelum dikeluarkan daripada perikatan tersebut pada tahun 1978 disebabkan krisis politik di Kelantan.
Malah tambahnya pada tahun 1989, PAS bersama Semangat 46 serta parti kecil lain membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya membetuk kerajaan di Kelantan pada tahun 1990.
Pada tahun 1999 pula, PAS melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK) yang diterajui PAS kesan daripada krisis politik 1998 telah menubuhkan Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihan raya 1999.
Pada April 2008 pula, PAS menjadi parti komponen kepada Pakatan Rakyat bagi mendepani PRU-12 dan PRU-13.
“Sejarah politik PAS penuh warna warni serta melalui jalan yang penuh ranjau. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa PAS adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip,” katanya dalam Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Tahunan Ke-60 di Bukit Gambang Resorts City, di sini hari ini.
Malah katanya, PAS pernah bersama dan juga berseteru dengan Umno, selain berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, PAS di mana juga bersahabat dengan DAP sebelumnya, selain PAS berkawan dengan PKR dan tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR.
Menurut beliau, dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju tetapi diam dalam reda dan ada yang membantah serta lari dari perjuangan.
Namun menurutnya, apabila prinsip menjadi dasar perjalanan parti, kesan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana ia milik Allah.
“Apa yang lebih penting setiap tindakan yang PAS lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahalluf atau berta’awun disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan di dalam perlembagaan PAS iaitu demi mempertahan Islam,” tegasnya.
Dalam mencapai matlamat ini kata Ustaz Khalil, PAS sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting dan ia perlu di dokong oleh kesatuan dan kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi.
Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini jelas beliau, akan menjadikan ummah mampu berdiri sendiri dan gagah dalam berdepan dengan ancaman luaran dan dalaman kepada agama Islam dan Pemuda Islam.
Justeru kata beliau, Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia pada kali ini mengangkat “Demi Islam” sebagai tema dengan hasrat besar supaya kembali semula kepada prinsip teras perjuangan PAS yang akan menjadi panduan dalam setiap tindakan.
Katanya lagi, ia juga akan menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan.
“Sesiapa sahaja yang memahami dan menerima prinsip ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia terbuka untuk mengadakan kerjasama,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2019