Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda Dr Zakir Naik: Muktamar Pemuda PAS nyata solidariti

Dr Zakir Naik: Muktamar Pemuda PAS nyata solidariti

118
SHARE

Oleh: NUR HASMIRA MOHAMAD | FOTO MUHAMMED NORAZIHA ABDULLAH

KUANTAN: Pendakwah bebas, Zamri Vinoth tidak akan teragak-agak melepaskan status kerakyatan negara ini jika kerajaan membuat keputusan menghantar pulang Dr Zakir Naik ke India.

“Saya ingin nyatakan di sini sekiranya kerajaan membuat keputusan mengekstradisi Dr Zakir Naik, saya tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan ‘ic’ (kad pengenalan) saya, saya lebih rela tidak duduk di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam persidangan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini petang tadi.

Beliau mengajak umat Islam di negara ini hendaklah bersatu padu dengan mengenepikan segala perbezaan aliran politik dalam hal memperjuangkan mana-mana individu muslim yang dizalimi.

“Ayuh kita bersatu di atas dasar persamaan sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Taala.

“Kita kena cari titik persamaan yang ada pada kita. Kita mungkin dari latar belakang yang berbeza namun agama ini suatu yang menyatukan kita kerana kita mempunyai perjuangan yang sama.

“Untuk kita contohi bangsa Cina di dalam persatuan. Kalau kita lihat bangsa Cina mereka ada DAP dan MCA, tetapi bila timbul isu berkaitan bahasa mereka atau berkaitan dengan bangsa mereka, mereka akan bersatu walaupun mereka mewakili parti yang berbeza,” tambahnya.

Beliau yang juga Tokoh Pendakwah Maal Hijrah yang lalu merasa kesal apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen beragama Islam tidak membuka mulut mempertahankan kezaliman sedang berlaku kepada Dr Zakir Naik.

Pada 10 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak diberikan keadilan sewajarnya.

Tun berkata demikian berikutan ada laporan mengenai usaha dilakukan oleh Direktorat Penguatkuasaan India (ED) yang mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar di Mahkamah Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Laporan tersebut mendedahkan, Mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir untuk pendengaran pada hari ini.

Dalam pada itu juga, perasmian sidang Muktamar DPPM pada hari ini turut menyatakan solidariti menentang kezaliman terhadap Dr Zakir Naik. – HARAKAHDAILY 19/6/2019