Home Muktamar62 Artikel Fahami Konsep Memartabatkan Kepimpinan Ulamak

Fahami Konsep Memartabatkan Kepimpinan Ulamak

128
SHARE

PENGALAN CHEPA, 2 Jun – YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menitipkan pesanan kepada ahli PAS agar sentiasalah mendokongi perjuangan yang diajarkan oleh para Ulamak sebagai pewaris Nabi, dengan kefahaman Islam yang benar.

Menurut beliau dalam ucapannya lagi, antara nikmat ibadah berada di dalam jemaah Islam adalah ibadah mentaati pemimpin, dan yang kedua, ibadah mencintai para ulama’. Maka selagi ahli PAS istiqamah berada di dalam jamaah, dan ahli PAS mentaati dan wala’ kepada setiap perintah mereka, ahli PAS mendapat pahala yang berpanjangan walaupun ada di antara perkara itu disukai, dan ada yang tidak disukai.

“Cuma ada masalah. Masalah ini bermula sejak zaman Nabi lagi. Masalahnya ialah kecintaan kepada para ulamak membawa kepada kecintaan melampau.” ulas beliau seraya menyebut kisah-kisah yang termaktub di dalam sejarah Islam.

“Ini berlaku di dalam sesetengah ahli PAS dahulu, yang kini tidak lagi bersama PAS. Kalau Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ada, aku tetap istiqamah. Kalau tok guru tak ada, tak tahu lah. Benda tak tahu ni lah syaitan.”

Menurutnya, mencintai Tok Guru (ulama’) adalah sunnah dan ibadah. Akan tetapi ulama’ diangkat dan dimuliakan oleh Allah adalah kerana mereka berada dalam medan perjuangan. Mana-mana ulama’ yang keluar dari perjuangan, tergelincir, maka Allah akan tarik kemuliaan itu.

Beliau juga menyeru kepada ahli-ahli senior di dalam PAS, agar memberi tunjuk ajar kepada anak-anak muda PAS di dalam Dewan Pemuda peringkat Kawasan dan sebagainya. “Kami Dewan Pemuda PAS begitu bersungguh-sungguh untuk membina diri kami. Kerana Dewan Pemuda adalah harapan PAS. Sebagaimana ayah-ayah kita, guru-guru kita di dalam PAS, dahulunya adalah dari Dewan Pemuda ini.” Kata YB Ustaz Nik Mohamad Abduh ketika menutup ucapan penggulungan mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia di dalam Muktamar Tahunan PAS ke-62.