Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat Infaq Didik Jiwa Bersyukur

Infaq Didik Jiwa Bersyukur

40
SHARE

Infaq Didik Jiwa Bersyukur

Oleh: Ibnat Hannan

KUALA TERENGGANU, 14 Sept – Bagi menjelaskan konsep ‘Istiqamah Dalam Ketaatan Terhadap Allah’, Ustazah Nuridah Mohd Salleh turut menyeru para muslimat agar memperbanyakkan amalan infaq baik wang ringgit mahupun harta benda agar dapat menyemai rasa bersyukur atas nikmat Allah SWT dan mengelakkan dari pembaziran.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang dimulakan dari sekarang serta wajar digiatkan.

“Muslimat mujahidah dan solehah zaman moden ini perlu bijak menguruskan kewangan rumahtangganya dan bersedia menginfaqkan sedikit daripada rezeki kurniaan Allah SWT kepada kelancaran dan kelangsungan gerak kerja jemaah,” katanya.

Beliau menambah, pengorbanan harta adalah satu pelaburan yang tidak sia – sia sambil membaca ayat kedua Surah Al Baqarah yang menceritakan tentang kelebihan amalan infaq.

Ustazah Nuridah turut mengingatkan para hadirin agar meningkatkan iltizam dalam menghadapi pelbagai ujian sepanjang perjuangan ini serta selalu bermuhasabah supaya tidak mengejar keduniaan semata-mata seperti habuan jawatan dan harta benda.

“Sesungguhnya kita hendak mencapai kemenangan dalam erti kata sebenar istiqamah sebagai anggota jemaah yang terikat dengan arahan dan peraturan Perlembagaan PAS, setia terhadap bai’ah dan wala’ kepada pimpinan dalam perkara makruf tanpa membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak’.”

Terdahulu, beliau juga berpesan kepada para perwakilan dan pemerhati agar sentiasa meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT dengan amalan harian dan munajat serta berusaha mengelakkan perkara melalaikan seperti mengikut arus fitnah di media sosial dan hiburan yang sia-sia.

“Semoga iltizam ini membuahkan pahala yang berlipat ganda dan meletakkan diri kita sebagai pewaris syurga yang abadi,” ujar beliau lagi.