Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda Islam diserang pelbagai sudut sejak PH berkuasa

Islam diserang pelbagai sudut sejak PH berkuasa

88
SHARE
KUANTAN: Pasca PRU14 kekecewaan demi kekecewaan dihadapi oleh rakyat Malaysia di mana bukan sahaja janji manifesto tidak ditunaikan, malah lebih mendukacitakan terdapat usaha mengganggu gugat kesucian Islam secara terang-terangan.
Saban hari penghinaan demi penghinaan dapat kita saksikan melalui media sosial terhadap Islam, hukum-hukum Islam, Nabi Muhammad dan institusi Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi melontarkan saranan itu dalam Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke60 di Gambang Resort City, di sini pagi ini.
Beliau berpandangan, golongan tersebut sedaya upaya menanamkan persepsi negatif terhadap Islam serta cuba memecahbelahkan umat Islam agar mereka dapat mengambil kesempatan.
Jelasnya, Ramadan yang lalu ada dalam kalangan mereka yang sangat lantang menentang Islam di dalam Parlimen tetapi diberi peluang menceroboh institusi Islam dengan mengagihkan zakat kepada masyarakat Islam.
“Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak. Ini dapat dilihat melalui percubaan merektifikasi ICERD dan Statut Rom yang akhirnya membuka ruang kepada campurtangan antarabangsa dalam urusan negara kita.
“Pada masa yang sama ancaman-ancaman kepada akidah umat Islam semakin banyak,” tegas dihadapan lebih 1,000 perwakilan, pemerhati dan para tetamu kehormat termasuk delegasi antarabangsa.
Beliau berkata, keruntuhan akhlak dan moral anak muda semakin menjadi-jadi, selain budaya seks songsang semakin berleluasa di mana budaya tersebut disuburkan lagi dengan kewujudan ikon-ikon tempatan sama ada artis atau usahawan yang tanpa segan silu mempromosikannya.
Ujarnya, jati diri umat Islam semakin terhakis sehingga tiada sensitiviti terhadap kemaksiatan yang berlaku secara berleluasa, sedangkan mereka yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam lebih prihatin dan beriya-iya mempertahan agama lain serta lebih suka berdiam-diri ketika agama Islam dihina.
Katanya lagi, jelas kepada semua bahawa Islam diserang dari pelbagai sudut, iaitu dari sudut akidah, akhlak, sistem perundangan dan politik. – HARAKAHDAILY 19/6/2019