Home Muktamar PAS Ke 65 Islam jaminan PAS untuk masyarakat majmuk

Islam jaminan PAS untuk masyarakat majmuk

3
SHARE

Oleh : IZWAN ABDUL HALIM

KUANTAN: Jaminan keadilan, keselamatan dan kedamaian sebenar untuk rakyat Malaysia bahkan dunia hanya boleh diperolehi dengan Islam, demikian kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Menurut beliau, jaminan dan janji ini bukan sahaja mengikat pemimpin Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah merupakan suruhan Allah yang dinyatakan al-Quran.

“(Bermakna) Kita bukan sahaja berjanji dengan rakyat, tetapi janji dengan Allah. Kita bukan sahaja bertanggungjawab dengan rakyat, tetapi paling utama kepada Allah.

“Termasuk jaminan ini adalah melibatkan juga keadilan, keselamatan dan kedamaian kepada rakyat bukan beragama Islam,” ujarnya yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

Penegasan tersebut dinyatakan beliau ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS kerana terus konsisten bersama perjuangan PAS demi Malaysia yang berbilang kaum.

Dato’ Che Abdullah berharap mereka boleh terus memainkan peranan terutama dalam memberi maklumat kepada rakan-rakan bukan Islam untuk memahami perjuangan bagi meyakini PAS.

Tegas beliau, PAS adalah satu-satunya parti yang boleh memberi keamanan kepada semua termasuk bukan Islam di negara bermasyarakat majmuk ini dengan Islam menjadi dasarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2019