Home Muktamar PAS Ke 63 Jangan Hanyut Berpolitik Hingga Jadi Bidak Catur

Jangan Hanyut Berpolitik Hingga Jadi Bidak Catur

4057
SHARE

Jangan Hanyut Berpolitik Hingga Jadi Bidak Catur

Oleh: Haris El-Harakah

ALOR SETAR, 29 April – Umat Islam digesa tidak terlalu ghairah berpolitik hingga meminggirkan panduan al-Quran dan Sunnah, yang boleh menyebabkan umat diperguna dan dilagakan sesama sendiri.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan, umat Islam yang berpolitik berpandukan fahaman liberal, pragmatik dan sekular menjadi mangsa pecah dan perintah musuh Islam, serta penyelewengan ilmu untuk merosakkan umat Islam.

“Apa yang pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah, atau yang hanya mengambil sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat Islam,” katanya.

Menurut beliau, suasana politik menuju pilihan raya umum pada masa ini mencetuskan keghairahan akibat tumpuan pada kuasa yang dijangka diperolehi nanti.

“Ada pula di kalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi bidak di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup,” tegas Tuan Guru Abdul Hadi.