Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Muslimat Ke Arah ‘Wanita Sejahtera’: Agenda Baru DMPM

Ke Arah ‘Wanita Sejahtera’: Agenda Baru DMPM

219
SHARE

Ke Arah ‘Wanita Sejahtera’: Agenda Baru DMPM

Oleh: Ibnat Hannan

KUANTAN, 15 Jun – Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-59 yang membuka tirai pagi tadi telah diteruskan lagi dengan Ucaptama Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Membuka ucaptamanya dengan subtopik ‘Agenda : ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’, ahli Dewan Negara itu berkata ‘Wanita Sejahtera’ menurut pandangan Islam adalah wanita yang memiliki hak dalam kehidupan secara menyeluruh serta memanfaatkan hak tersebut untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di muka bumi ini mengikut fungsi, juga peranan masing-masing.

Tambahnya, muslimat mestilah mengambil inspirasi dari sirah wanita solehah sepanjang zaman seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar, Nusaibah binti Kaab, Sumayyah binti Khabath dan ramai lagi yang diangkat martabat mereka oleh agama Islam walaupun zaman tersebut diselubungi kegelapan Jahiliah.

“Keterampilan mereka dalam bidang masing-masing terus menjadi contoh sehingga ke hari ini. Sejarah telah membuktikan bahawa kesejahteraan yang mereka nikmati dengan Islam adalah hasil daripada istiqamah mereka menghayati ajaran Islam,” ujarnya lagi.

Terdahulu, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh memulakan mukadimah ucapannya dengan menyebut bahawa sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah, Islam dijadikan musuh kerana menegakkan kebenaran dan lebih malang, kini kebatilan pula dianggap sebagai kebenaran manakala kezaliman pula dikira kebenaran yang mesti dipertahankan.

Oleh itu, kata beliau, muslimat mestilah menjadikan usaha-usaha jihad untuk kembali kepada kebijaksanaan Islam sebagai agenda utama perjuangan mereka.

‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ adalah tema Muktamar DMPM kali ke-59 bertempat di Pusat Konvensyen Bukit Gambang.