Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat Kelangsungan Perjuangan Muslimat PAS Terukir Dalam Sejarah

Kelangsungan Perjuangan Muslimat PAS Terukir Dalam Sejarah

33
SHARE

Kelangsungan Perjuangan Muslimat PAS Terukir Dalam Sejarah

Oleh: Rabiatul Adawiyah

KUALA TERENGGANU, 14 Sept – Muslimat PAS mempunyai sejarah panjang yang ditelusuri oleh generasi muslimat terdahulu dalam mewarisi perjuangan dan pengorbanan sehingga kini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menjelaskan bahawa penubuhan Dewan Muslimat 2 tahun selepas PAS pada 3 Januari 1953 memberi erti tersendiri bagi muslimat.

“Sejarah ini merupakan manifestasi hasil usaha yang istiqamah daripada pejuangan muslimat-muslimat terdahulu yang telah tiada lagi di dunia ini dengan kepimpinan yang silih berganti,” ucap beliau ketika mengulas mengenai subtopik ucaptama iaitu “Sejarah Istiqamah Muslimat PAS”.

Menyifatkan hasil usaha kegigihan mereka dalam memperkukuhkan organisasi jemaah adalah aset yang sangat bernilai untuk semua ahli meneruskan perjuangan yang ada.

“Kita semestinya menghargai pengorbanan mereka dengan bersungguh-sungguh, lalu bersama meneruskan perjuangan yang kita warisi dari mereka,” tambah beliau memberi semangat kepada perwakilan yang hadir.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh turut merakamkan penghargaan DMPM kepada tenaga muslimat As-Sabiqat (veteran) yang kaya dengan pengalaman, muslimat senior dan junior dalam pelbagai bidang kemahiran, juga memiliki pendidikan dan kelayakan yang tinggi. Ada di kalangan mereka yang profesional dan mendapat pengiktirafan di peringkat negara juga antarabangsa.

“Muslimat PAS harus memastikan gerak kerja untuk lebih berstrategik dan tidak bersikap sambil lewa demi memacu jemaah PAS ke arah kemenangan dengan izin Allah SWT,” tegas beliau memperingatkan hadirin.

Turut hadir di Majlis Perasmian Muktamar DMPM ke-58 pagi tadi ialah Encik Subki Abdul Latif, 78 tahun iaitu Pengerusi As-Sabiqun Pusat.