Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat Kelantan dan Terengganu Menjadi “Role Model”

Kelantan dan Terengganu Menjadi “Role Model”

52
SHARE

Kelantan dan Terengganu Menjadi “Role Model”

Oleh : Nadiah Saari

KUALA TERENGGANU, 14 Sept – Kemenangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan dan Terengganu pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang lepas telah memberi peluang untuk membuktikan PAS mampu menjadi kerajaan contoh.

Pelbagai strategi telah diatur khususnya kepada penggerak – penggerak PAS bagi memastikan agenda menjadikan pentadbiran PAS di Kelantan dan Terengganu sebagai “role model” dapat dilaksanakan dengan baik dan mantap.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Salleh, penggerak – penggerak serta pakar – pakar kemasyarakatan yang dapat digembleng dalam DMPM serta penggiat profesional luar yang mesra PAS mampu menjadikan agenda itu suatu realiti.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam hari ini.

Tambah beliau, latihan perlu diberikan kepada penggerak-penggerak PAS bagi membantu pentadbiran kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu lantas dapat membuka mata masyarakat terhadap PAS.

“Sesungguhnya apa yang diharapkan agar penggerak – penggerak yang terlatih dan matang ini dapat membantu kerajaan Kelantan dan Terengganu menjadi model pemerintahan yang mesra rakyat, bertindak telus dan bijaksana, adil dan saksama bagi kesejahteraan semua rakyat jelata.

“Kejayaan kerajaan Kelantan dan Terengganu akan mengukuhkan sokongan rakyat negeri tersebut khususnya dan membuka mata rakyat Malaysia amnya, insya Allah,” terang beliau mengenai strategi pelaksaan yang perlu dilaksanakan kepada penggerak PAS.

Beliau berkata, kejayaan ini sekali gus akan meyakinkan masyarakat tentang kemampuan PAS sebagai parti pemerintah kepada rakyat.

“Kejayaan ini juga membuktikan kepada rakyat bahawa PAS adalah parti pemerintah yang efektif dan boleh diharap bagi mengurus negara secara adil dan sejahtera, ” ujar beliau dalam ucapan tersebut.