Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat Keluar Mulut Buaya, Masuk Mulut Harimau

Keluar Mulut Buaya, Masuk Mulut Harimau

29
SHARE

Keluar Mulut Buaya, Masuk Mulut Harimau

Oleh: Ramizah Rahmad

Kuala Terengganu, 14 Sept – Memetik ucaptama Ustazah Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), “Terjadi pula persepsi kemelut keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) ibarat kata pepatah, ‘keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau’. Kekecewaan ini amat dirasakan oleh segmen masyarakat akar umbi yang tertindas dan terpinggir. Bukti ini jelas terserlah dengan keputusan PRK Sungai Kandis, Selangor walaupun PH memenangi kerusi tersebut”.

Beliau turut menambah, “Sesungguhnya realiti yang terpapar sekarang menjadi cabaran baru kepada PAS amnya dan DMPM khususnya. Kemungkinan keadaan ekonomi yang lebih merudum dapat dijangka dengan perang ekonomi dan saling menaikkan tarif barangan dan perkhidmatan import dan eksport oleh kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan Cina”.

Malah, kerajaan baru PH yang tidak berhemah telah menjejaskan pelaburan China di Malaysia dan gagal berunding semula dengan mendakwa perjanjian yang dikatakan berat sebelah oleh kerajaan lama.

Usaha-usaha mendekati golongan muda juga harus digiatkan oleh pihak Dewan Pemuda PAS dan Muslimat Muda, agar dapat menarik mereka menyokong agenda kebenaran dan amar makruf nahi mungkar yang diungguli oleh PAS.

Dalam keadaan kemelut ekonomi yang melanda, rakyat tersentak dengan tindakan perbelanjaan mewah menaja semula perlumbaan kereta Formula-1 (F1) yang dikendali oleh anak Perdana Menteri ke-7, serta penganugerahan kontrak khidmat syarikat PETRON kepada sebahagian kegunaan petrol kenderaan kerajaan bersaing dengan PETRONAS dan SHELL di mana syarikat ini juga dikuasai oleh anak PM ke-7.

Hal-hal ini tiada langsung tercatat dalam janji-janji manifesto PH. Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga cuba membangkitkan soalan seperti berikut, adakah tindakan kronisme ini seolah-olah sama sahaja bagi PM ke-4 dulu yang dilihat ibarat hanya menukar baju?Bagaimanakah kerajaan PH boleh menjustifikasikan pengurangan bantuan sara hidup bagi nelayan kecil pantai dalam musim tengkujuh serta para penoreh upahan getah bukan milik tanah mereka sendiri yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Juga tindakan kerajaan menghapuskan bantuan BR1M kepada sebahagian rakyat yang layak? Adakah alasan penjimatan perbelanjaan kerajaan ini terpakai terhadap penajaan perlumbaan kereta Formula 1-F1?

Sesungguhnya kemelut ini memberikan kesempatan dan peluang untuk PAS terus memberikan pencerahan dan menyantuni semua segmen masyarakat yang terjejas dan menjadi mangsa keadaan dengan agenda bantuan kebajikan yang sangat sinonim dengan gerak kerja akar umbi PAS.