Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda Kos sara hidup belenggu anak muda – Ustaz Khalil

Kos sara hidup belenggu anak muda – Ustaz Khalil

69
SHARE
KUANTAN: Rata-rata anak muda samada mahasiswa hingga kepada mereka yang berkeluarga berdepan detik sukar akibat kos sara hidup yang melampau mutakhir ini.
Ramai dalam kalangan anak muda masih menganggur lantas berdepan tekanan hidup yang sangat berat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melihat khusus kepada anak muda, mereka menghadapi isu seputar kehidupan dan ketidaktentuan masa hadapan disamping isu yang disebutkan di atas.
“Isu kos sara hidup masih menjadi isu utama yang dihadapi oleh anak muda daripada peringkat mahasiswa yang sedang menimba ilmu sehingga kepada yang telah pemuda dan belia yang telah mendirikan rumahtangga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-60 bertemakan “Demi Islam” di Bukit Gambang Resorts City, di sini hari ini.
Menurut Ustaz Khalil, peluang pekerjaan untuk mereka sangat terbatas kerana situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan.
Tambah beliau, pembangunan tenaga mahir anak muda melalui institusi pendidikan teknikal dan vokasional mengalami krisis kecelaruan dari sudut pengurusan dan sistem sokongan.
Katanya lagi, ia sehingga menyebabkan kualiti graduannya tidak menepati kehendak industri semasa apatah lagi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 yang sudahpun bermula.
Malah kata Ustaz Khalil, akibat tiada halatuju jelas dalam pendidikan negara menyebabkan ketidakselarasan di antara akademik dan kehendak tenaga kerja semasa dalam membangun negara.
Akhirnya jelas beliau, ia menyebabkan anak muda terumbang ambing dalam kehidupan mereka.
“Sudah tentu situasi ini sangat merisaukan dan akan membawa kesan jangka panjang kepada generasi anak muda akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara di pelbagai peringkat. Sesuatu perlu dilakukan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2019