Home Muktamar PAS Ke 63 Lima Seruan Untuk PAS Mendepani PRU 14

Lima Seruan Untuk PAS Mendepani PRU 14

1957
SHARE

Lima Seruan Untuk PAS Mendepani PRU 14

Oleh: Asyraf Hanif

ALOR SETAR, 1 Mei – Wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Daud menegaskan lima langkah yang perlu diambil dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam usaha mengambil alih pentadbiran negara yang semakin rosak, beliau telah mencadangkan untuk PAS di setiap kawasan dan negeri seluruh Malaysia mempergiatkan usaha penerangan kepada rakyat tentang solusi yang dibawa PAS seperti Dokumen Hijau.

Beliau berpandangan, rakyat pada hari ini sudah jemu kepada “politikus yang hanya menabur janji tanpa ada bukti yang boleh merubah negara.”

Dokumen Hijau merupakan salah satu penyelesaian yang disediakan PAS dalam mendepani masalah yang melanda negara terutama sekali dalam bidang ekonomi.

Beliau juga menekankan kepada ahli-ahli PAS untuk menjadikan karya-karya ulamak silam seperti Ahkam Sultaniah, Qawaid al-Ahkam, Al-Kharaj sebagai suatu silibus kuliah-kuliah haraki atau usrah di peringkat negeri.

Beliau menyifatkan dengan menjadikan buku-buku ini sebagai silibus pengisian, fikiran ahli-ahli PAS akan lebih terbuka didalam membina negara sejahtera.

Beliau juga menyeru kepada kawasan-kawasan PAS seluruh negara untuk mempergiatkan usaha melahirkan lebih ramai jentera yang mahir berbahasa Tamil dan Mandarin.

Seterusnya, dalam keadaan pembangunan teknologi sosial, beliau menyarankan untuk PAS membina dan mencipta silibus dalam pendidikan media baharu.

“Hari ini ramai pelayar media-media baru yang menjadi pendusta sehingga pendustaan ini sampai ke seluruh dunia,” tegas beliau dengan memetik sebuah hadis Nabi.

Akhirnya, beliau menegaskan PAS akan meneruskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera walau apa pun persepsi yang dilontarkan oleh pihak kawan atau lawan.

Pada zaman kekeliruan antara haq dan bathil ini, beliau menegaskan perlunya sesi penerangan yang banyak dalam menghadapi serangan untuk menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Di akhir ucapan beliau memetik kata-kata pejuang Islam Syed Qutb untuk menaikkan semangat ahli-ahli PAS.

“Sesungguhnya kemenangan sudah berada di atas kepala hanya menunggu seruan kun fayakun, maka jangan sibukkan diri kamu dengan bertanya bila kemenangan akan tetapi sibukkan diri kamu dengan bertugas di posisi masing-masing menerangkan yang hak dan batil.”