Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda Media sosial vs keris: Mana yang lebih merbahaya?

Media sosial vs keris: Mana yang lebih merbahaya?

58
SHARE

KUANTAN: Cabaran media sosial masa kini seperti senjata di mana ia mampu membunuh jiwa, sedangkan keris hanya mampu membunuh jasad, demikian ibarat dikaitkan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Keris mampu membunuh jasad, tetapi media sosial mampu membunuh jiwa,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini pagi tadi.

Menurut beliau, cabaran menghadapi media sosial sangat susah untuk ditembus di mana ia merupakan sesuatu yang cukup luas tiada sempadan, tiada batas halal dan haram, juga dosa pahala, malah tiada  batas kebenaran mahupun kebatilan.

“Orang tanya bila saya naik ke pentas, “Mana keris? Biasanya pahlawan ada keris?” Saya tunjuk pada dia, telefon bimbit. Keris sekarang adalah telefon bimbit, telefon bimbit boleh pergi jauh.

“Maka, gunakan sebaik mungkin senjata ini, pastikan kita mendapat pahala didalam media sosial,” ujarnya dihadapan lebih 1,000 perwakilan serta pemerhati yang hadir di Pusat Konvensyen ini.

Tambah beliau, paling membimbangkan apabila membayangkan media sosial di masa akan datang yang sudah pastinya lebih meluas dan pantas serta sudah pastinya semakin rumit untuk dibendung di hari mendatang.

“Saya tidak bimbang terhadap apa yang kita kuasai, tapi kita bimbang dalam suasana yang kita hilang kekuasaan, kita tidak mampu nak mengawal media sosial, pemimpin-pemimpin negara juga kemungkinan tidak mampu mengawal ia,” ujarnya.

Katanya, PAS sendiri sudahpun berbuat sehabis baik untuk memastikan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat sampai kepada pengikut-pengikutnya, namun beliau akui, perkara-perkara ‘hanyir’ yang disebar tidak mampu dikawal setelahpun amaran dikeluarkan.

“Kita keluar kenyataan bagi untuk mengawal penyebaran berita (hanyir), tetapi kita tidak mampu untuk mengawal media sosial yang begitu tersebar luas,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menasihati pengikut-pengikut PAS agar bertanggungjawab atas setiap informasi atau berita yang disampaikan dan disebarkan di media sosial.

“Jadikan media sosial sebagai pemangkin bagi kemenangkan agama, anda semua adalah ahli jawatankuasa penerangan bagi parti, pastikan setiap kali keluar kenytaaan rasmi dari Presiden, pastikan semua ahli berkongsi maklumat,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan ucapkan penghargaan terima kasih kepada laskar siber PAS yang setia membantu menjelaskan serangan-serangan musuh kepada parti tersebut. – HARAKAHDAILY 19/6/2019