Home Muktamar PAS Ke 65 Muktamar Khas Putuskan Isu-Isu Politik Kritikal Siri 12

Muktamar Khas Putuskan Isu-Isu Politik Kritikal Siri 12

122
SHARE

MEMORI MUKTAMAR SEMPENA MUKTAMAR TAHUNAN PAS KALI KE-6

MUKTAMAR KHAS PUTUSKAN ISU-ISU POLITIK KRITIKAL
Siri 12

Mohd Fadli Ghani
Pusat Penyelidikan PAS

SEPANJANG sejarah perjuangan PAS, terdapat beberapa isu politik yang sangat kritikal sehingga memerlukan muktamar khas bagi memutuskannya. Oleh sebab PAS mengamalkan prinsip syura dalam pengurusan organisasinya, jika berlaku isu-isu besar yang memerlukan keputusan dibuat, maka pimpinan PAS akan membawanya ke muktamar atau muktamar khas. Melalui muktamar-muktamar inilah pendirian politik PAS dibuat, setelah Dewan Ulamak PAS atau Majlis Syura Ulamak PAS mengharuskan sesuatu tindakan politik. Biasanya ketetapan hukum akan dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat (sebelum 1987) dan Majlis Syura Ulamak PAS (selepas 1987) berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta ijmak dan qias, sebelum muktamar mengambil ketetapan politik.

Antara Muktamar Khas PAS yang paling terkenal ialah Muktamar Khas PAS Kali Kedua pada 26 September 1953 yang menentapkan pendirian PAS sama ada menyokong National Conference atau National Convention dalam proses menuntut pilihan raya segera. Kemudian, pada akhir 1972, Muktamar Khas PAS Kali Kelima telah memutuskan persetujuan untuk PAS mengadakan kerjasama politik dengan Perikatan yang membawa kepada terbentuknya Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973. Dua lagi Muktamar Khas PAS yang penting juga ialah pada 2 Mei 1957 untuk membincangkan Penyata Reid dan pada 15 Oktober 1961 bagi membincangkan isu cadangan penubuhan Melayu Raya (Malaysia) oleh Tuanku Abdul Rahman.

Muktamar Khas dalam sejarah PAS

Sebenarnya, Muktamar Khas PAS selain pernah membincangkan isu-isu politik yang kritikal, dalam tempoh antara 1983 hingga 2000, Muktamar-muktamar Khas PAS juga telah digunakan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan PAS. Sebelumnya, PAS hanya menggunakan Muktamar Tahunan PAS untuk tujuan tersebut, termasuk selepas 2000. Antara isu besar yang berkait dengan pindaan Perlembagaan PAS ialah untuk mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS pada 1983, untuk menukarkan gelaran pemimpin tertinggi PAS dari “Yang Dipertua PAS Pusat” kepada “Presiden PAS” pada 1992″ dan untuk mewujudkan Jawatankuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan pada 2000.

Dalam sejarah muktamar PAS juga, pernah satu Muktamar Khas PAS telah ditangguhkan pada 22 April 1962 kerana korum mesyuarat tidak mencukupi bilangan kehadiran dua pertiga daripada ahli muktamar. Muktamar ini sebenarnya bertujuan untuk membuat pindaan besar-besaran ke atas organisasi PAS melalui kertas khas yang dirangka oleh Prof Zulkifli Mohamad. Perlembagaan ini adalah bertujuan untuk menggantikan Undang-undang Tubuh PAS yang digubal pada 1951. Bentuk dan struktur Perlembagaan PAS hari ini adalah berdasarkan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1963. Oleh sebab Mesyuarat Agung Khas PAS 1962 ini gagal diadakan, usul pindaan Perlembagaan PAS dibawa ke Muktamar Tahunan PAS pada 31 Disember 1962 – 2 Januari 1963.

Berikut adalah Muktamar-muktamar Khas PAS:

1) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan seorang ahli PAS menjadi ahli kepada parti siasah yang lain di Kelab Melayu Bagan, Butterworth pada 24 November 1951 / 24 Safar 1371

2) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membuat ketetapan terhadap pendirian PAS samada menyokong National Convention atau National Conference dalam menuntut kemerdekaan di Pejabat Agung PAS, Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 26 September 1953 / 17 Muharram 1373

3) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan Penyata Perlembagaan Reid di Dewan Masyarakat, Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 2 Mei 1957 / 2 Syawal 1376

4) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan kedudukan Melayu Raya berikutan cadangan penubuhan Malaysia di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 1961 / 5 Jamadil Awal 1381

5) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan pindaan Perlembagaan PAS bagi penstrukturan semula organisasi PAS di Dewan Balai Masyarakat Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 22 April 1962 / 17 Zulkaedah 1381 (Ditangguhkan kerana korum tidak mencukupi).

6) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan penyertaan PAS dalam Kerajaan Campuran di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 20 Disember 1972 / 14 Zulkaedah 1392

7) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan pemecatan PAS daripada BN di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 25 Disember 1977 / 14 Muharram 1398

8) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk membincangkan isu penahanan ISA pimpinan PAS dalam demonstrasi isu padi di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2 Mac 1980 / 14 Rabiul Akhir 1400

9) Mesyuarat Agung Khas PAS untuk meminda Perlembagaan bagi menubuhkan Majlis Syura Ulama di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 29 April 1983 / 16 Rejab 1403

10) Muktamar Khas PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar untuk membincangkan pindaan Perlembagaan bagi menukar nama Yang DiPertua PAS Pusat kepada Presiden PAS, penyelarasan kawasan dan keahlian pada 8 November 1992 / 12 Jamadil Awal 1413

11) Muktamar Khas PAS di Stadium Negeri, Kuala Terengganu untuk meminda Perlembagaan menambah ahli jawatankuasa dan mewujudkan Jawatankuasa Ulama peringkat kawasan pada 2 Jun 2000 / 28 Safar 1421

Mohd Fadli Ghani
Head
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Syawal 1440 / 18 Jun 2019