Home Muktamar62 Artikel Muktamar Merai Kejayaan RUU355

Muktamar Merai Kejayaan RUU355

149
SHARE

 

KOTA BHARU:¬†Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan muktamar kali ini sebagai merai kemenangan kali pertama dalam sejarah kejayaan PAS membentangkan Rang Undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-57 di Kelantan Trade Centre, di sini hari ini.

Beliau turut membidas bantahan dizahirkan parti-parti komponen BN serta ugutan para pemimpinnya untuk meletakkan jawatan dari Kabinet.

Tegasnya, mereka itu sepatutnya menunjukkan sikap terhadap masalah ditimbulkan kepada negara seperti isu 1MDB, GST, RM2.6 bilion dan pelbagai isu lain.

“Termasuk isu melanda anak muda hari ini yang hilang pekerjaan, semua ini masalah rakyat dan perlu diberi perhatian. Bukan sekat hak orang Islam untuk amal ajaran Islam.

“Beri ruang dan buka perbahasan. Ini kelebihan yang ada pada PAS. Kita bukan tergopoh gapah. Kita buka ruang beberapa bulan ke depan adalah waktu untuk mereka kaji dan dalami peruntukan di bawah Akta 355 ini.

“PAS sedia adakan sebarang dialog untuk fahami keperluan tingkatkan kuasa Mahkamah Syariah ini,” tegasnya mengingatkan bahawa Akta itu hanya untuk orang Islam sahaja.

Jelasnya, apabila PAS menyatakan membawa penyelesaian Islam bukan bermakna PAS tidak menghormati agama lain.

Tetapi terangnya, PAS berpegang kepada keyakinan bahawa Islam adalah rahmat untuk semua manusia, yakni tidak tertakluk kepada orang Islam sahaja.

Serunya, jika masyarakat bukan Islam boleh menerima sistem perbankan Islam, pajak gadai Islam dan beberapa sistem Islam lain, maka bukalah minda untuk terima sistem perundangan Islam.

Tambahnya lagi, sistem perundangan Islam pernah dilaksanakan di dua pertiga dunia dengan memberi keadilan kepada bukan Islam dan menghukum orang Islam.

Beliau memetik kisah tindakan anak Gabenor, Amru al-Ash yang memukul seorang Qibti kerana tewas dalam satu pertandingan.

Ujar Ustaz Tuan Ibrahim, perbuatan itu telah diadili Khalifah yang kemudian menjatuhkan hukuman balas terhadap anak Amru.

“Ketepikan semangat melulu. Kita bergerak dengan penuh ilmiah dan berlapang dada serta berjiwa besar kerana yang perlu kita pelihara adalah kedamaian, ketenteraman dan keamanan negara.

“Perubahan yang PAS ingin bawakan tidak akan menimbulkan pencerobohan kepada undang-undang dan Perlembagaan Negara yang kita dokongi.

“Sebab itulah kita bawa ke Parlimen. Kita tidak paksa Ahli Parlimen bukan Islam, tapi kita minta ianya difahami,” ujarnya melontar harapan.