Home Muktamar60 Artikel Muktamar Yang Mabrur – Syahir Sulaiman

Muktamar Yang Mabrur – Syahir Sulaiman

136
SHARE

“Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat kemungkaran, dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Muktamar dan haji.

Muktamar PAS kali ke-60 berlangsung dalam musim haji.

Jutaan umat Islam mula membanjiri Tanah Haram untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Ibadah haji merupakan manifestasi pengabdian dan pengorbanan hamba kepada Rabbi. Tiadalah yang didambakan oleh para dhuyuf ar-Rahman, selain beroleh ‘haji mabrur’ yang diberkati.

Demikian juga para perwakilan.

Ribuan pencinta keadilan sedang berhimpun di Batu Pahat demi satu tujuan. Muktamar adalah sebaik medan muhasabah dan membuat keputusan. Tiadalah yang diharapkan oleh para ahli dan perwakilan, selain beroleh ‘muktamar mabrur’ yang membawa lebih kebaikan.

Johor dan Turki.

Muktamar PAS 2014 bertandang ke negeri Johor Darul Takzim.

Selain bumi kelahiran UMNO pada 1946, Johor adalah pengkalan awal gerakan Sarekat Islam ke Tanah Melayu, dengan penubuhan cawangan di Johor di bawah pimpinan Haji Ibrahim Sidin pada 1920.

Malah, Johor terlebih awal mempunyai hubungan dengan Khilafah Uhmaniyyah di Turki. Ia bermula sejak lawatan Sultan Abu Bakar ke kota Istanbul pada 1866, dan diiktiraf sebagai Sultan Johor pada 1886 dengan memakai gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah. Kapal perang Attughrul dari Turki pernah berlabuh di Istana Besar Johor pada 1894. Seruan dan doa untuk Raja-Raja telah dibacakan buat pertama kali pada 1895 mengikut amalan Khalifah Uthmaniyyah di Turki, dan menjadi kebiasaan di Malaysia sehingga kini (Jalil, 2011).

Kesan pengaruh Turki ke atas Johor masih kekal hingga ke hari ini, antaranya penukaran bendera Johor oleh Sultan Abu Bakar dengan memakai corak bulan-bintang pada bendera merah Turki yang ditambah lataran biru, cara berpakaian Sultan Johor dan reka bentuk Masjid Sultan Abu Bakar, di samping pelaksanaan undang-undang Islam yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Johor 1895 dan pemakaian kod Majalah Ahkam Johor sejak 1913 (Jalil, 2011).

Siyasah nafas panjang.

Pemilihan Johor sebagai tuan rumah muktamar adalah bertepatan dengan tema ‘Terus Beristiqamah’.

PAS tetap istiqamah membawa misi tarbiah, dakwah dan siyasah di Malaysia. Partisipasi PAS dalam pilihanraya adalah di atas prinsip ‘muwajahah silmiyyah’. Perjuangan pendokong PAS yang istiqamah menatijahkan PAS berpengalaman dalam kerangka demokrasi berparlimen di Malaysia, samada di posisi pembangkang, kerajaan negeri, dan kerajaan Persekutuan, juga samada dalam gabungan atau bersendirian.

Kelangsungan perjuangan PAS sepanjang 63 tahun ini akan berkekalan sehingga akhir zaman. Walaupun kepimpinan PAS boleh berubah, pendekatan dan strategi PAS boleh diubah, namun dasar PAS tidak akan berubah. Inilah DNA PAS, ajaran Islam dan kepimpinan ulama, yang wajib dipelihara.

Inilah kekuatan PAS, yang dasarnya berakar (usuli), pendekatannya  kontemporari (waqi’e) dan perancangannya futuristik (istiqbali). Justeru, demi memastikan siyasah nafas panjang, PAS perlu istiqamah di atas nilai dalaman dan kekal relevan kepada persekitaran (internally-driven, externally-relevant).

Semoga muktamar menatijahkan lebih kebaikan.

 

– Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM.

– September 19, 2014.