Home Muktamar PAS Ke 65 Dewan Pemuda Pahang latari sejarah perjuangan

Pahang latari sejarah perjuangan

119
SHARE

KUANTAN: Menyingkap lembaran sejarah, Pahang merupakan tanah subur dengan nilai perjuangan khususnya dalam menentang penjajahan dengan nama-nama seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau sering disebut sekitar tahun 1891-1894.

Penegasan tersebut disuarakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ucaptamanya di Muktamar  Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60, di sini hari ini.

Jelasnya, di bawah kepimpinan mereka, tenaga rakyat sama ada tua atau muda digerakkan bagi mempertahan kedaulatan tanah air tercinta, justeru, biarpun tidak ramai anak watan menyahut seruan perjuangan mereka, agenda perjuangan tetap diteruskan tanpa rasa takut dan gentar.

“To Ku Paloh sebagai ulamak tempatan pula berperanan meniup semangat jihad mempertahanan agama dan tanah air.

“Ketika mana mereka merasa hampir putus asa, suntikan ruh Islam menyemarakkan semula obor perjuangan. Ini menunjukkan bahawa dalam konteks perjuangan dan penentangan penjajah di Tanah Melayu, Islam menjadi teras perjuangan.

“Ironinya, pihak penjajah didokongi oleh para pembesar dan penduduk tempatan. Mereka dipergunakan oleh penjajah untuk mematahkan perjuangan bangsa mereka sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, mereka rela diperalat demi mendapat imbuhan dan kesenangan sementara tanpa memikirkan masa hadapan kedaulatan tanah air dan keutuhan Islam di bawah penjajah.

Tambahnya, kekuasaan dan hak keistimewaan penduduk asal yang tergadai sedikit demi sedikit diabaikan asalkan kehidupan mereka terjamin.

Maka jelas beliau, watak-watak pendokong perjuangan dan pengkhianatan ini bukan sahaja terlihat dalam paparan sejarah, ia juga termaktub dalam Al-Quran sebagai panduan manusia sepanjang zaman.

“Di antara mesej utama yang Allah bawakan dalam Al Quran dan Sirah Nabawiyah dalam mendepani cabaran menentang kejahatan adalah pengukuhan jati diri Islam yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan dan nilai perjuangan dan kesatuan berdasarkan akidah dalam membentuk kekuatan jamaah.

“Maka pemilihan Pahang sebagai lokasi perhimpunan perwakilan muktamar dan mesyuarat agung dewan-dewan sangat bertepatan dalam konteks perjuangan PAS dan perlu menjadi titik mula kebangkitan kesatuan umat menuju kegemilangan bertunjangkan Islam,’ tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2019