Home Muktamar PAS Ke 65 PAS bangunkan semula sistem pendidikan

PAS bangunkan semula sistem pendidikan

4
SHARE

Oleh NORAINI RAZAK

KUANTAN : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan, Pakatan Harapan gagal menyuntik roh pegangan agama yang murni kepada pelajar untuk berdepan dengan krisis moral dan mengenakan kayu ukur yang tidak menyeluruh dalam sistem pendidikan.

Kata beliau, guru-guru pula berdepan dengan eksperimen baharu yang terus memberi tekanan kepada bidang perguruan, serta pelbagai lagi dasar baharu yang berubah-ubah sehingga guru dan pelajar menjadi mangsa.

Demikian kata Tuan Guru Abdul Hadi dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Pahang hari ini.

Solusinya kata beliau, PAS memperkenalkan agenda pembangunan insan yang sebenar mengikut acuan Allah.

Perubahan itu kata beliau dengan kaedah membangun semula sistem pendidikan melalui peranan akal dan ilmu dalam mencapai status negara maju menjelang 2020.

Katanya lagi, pelaburan dalam bidang pendidikan pasti memberikan pulangan yang lumayan di masa hadapan.

Malah tambahnya Malaysia dapat melahirkan generasi berilmu dan disegani di mata dunia.

“Kemusnahan tamadun umat terdahulu adalah kerana tidak membangun insan mengikut fitrahnya, malah berlaku zalim kepada ahli bijak pandai, sehingga ada ahli falsafah yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya, malah melampau apabila menolak Rasul yang dipilih oleh Allah dengan ilmu wahyu,” katanya.

Malah ujarnya, sudah mula timbul keberanian pihak tertentu yang mewujudkan NGO dan gerakan normalisasi yang memperjuangkan budaya songsang seperti LGBT serta menggunakan jenama Islam untuk agenda kebebasan beragama dan membuka aurat di kalangan muslimah.