Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Ulamak PAS Konsisten Letakkan Islam Tempat Tertinggi Dalam Kenegaraan

PAS Konsisten Letakkan Islam Tempat Tertinggi Dalam Kenegaraan

99
0
SHARE
PAS Konsisten Letakkan Islam Tempat Tertinggi Dalam Kenegaraan
Oleh: Ibnat Hannan
KUALA TERENGGANU, 13 SEPTEMBER- Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat  dalam ucaptamanya hari ini menegaskan bahawa PAS konsisten berpandangan pentadbiran negara mestilah meletakkan ketertinggian Islam dalam perlembagaan serta menolak doktrin sekularisme dan liberalisme dalam tata kelola negara.
“Dalam soal pembentukan rumahtangga yang membina komuniti kecil menerusi kekeluargaan juga mementingkan soal agama maka apatah lagi dalam membangunkan sesebuah negara yang lebih besar; sudah pasti dasarnya hendaklah berpaksikan kepada agama Islam,” ujar Tuan Guru Dato’ Dr. Mahfodz Mohamad.
Oleh itu, beliau juga menyelar suara-suara yang mengatakan soal memilih pemerintah bukanlah soal memilih agama seolah-olah pemilihan pemimpin tiada kena-mengena dengan tanggungjawab dalam urusan menjaga dan mengurus tadbir perihal agama.
Memetik kandungan ucaptama beliau di hadapan para perwakilan dan pemerhati, akhir-akhir ini semakin banyak isu yang mencabar ketertinggian agama Islam antaranya isu sebatan syariat, isu menangani gerakan LGBT, silap faham erti ‘hifzul din’ dalam Maqasid Al-Syariah dan lain-lain.
“Di sinilah perlu sikap bertanggungjawab, integriti dan telus dalam pentadbiran negara; pemerintah mesti tegas untuk menegakkan Syariat Islam serta mempertahankannya,” katanya lagi.
Tambah beliau, ketegasan tersebut membolehkan masyarakat yang sempurna dan aman dari sebarang kezaliman serta hak-hak seperti keadilan, kebajikan, perlindungan dan sebagainya diperolehi semua rakyat.
“Kita tidak mahu ada pemimpin utama negara yang secara terang-terangan menunjukkan kejahilan mereka dalam mentadbir apatah lagi mencemuh pelaksanaan tuntutan Islam agama rasmi Persekutuan,” ujarnya.