Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Muslimat Pelan Tindakan DMPM Panduan Istiqamah

Pelan Tindakan DMPM Panduan Istiqamah

52
SHARE

Pelan Tindakan DMPM Panduan Istiqamah

Oleh : simpleshida

Kuala Terengganu, 14 Sept – Muslimat PAS terus memacu gerak kerja dengan lebih tersusun, sistematik dan efisien agar jemaah Islam ini tampak lebih elegan dan bersama meningkatkan taraf profesionalisme yang lebih optimum.

‎إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As Saff ayat 4).

‘Satu binaan yang tersusun kukuh’ bermaksud satu organisasi yang luas diikat dengan kesatuan dan kekuatan, sebahagiannya memperteguhkan sebahagian yang lain dengan caranya yang tersendiri, dan seluruh organisasi itu umpama satu organ yang hidup dan lengkap.

Berkata Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucaptama di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS kali ke 58, “Semua anggota perlu istiqamah dalam tanzim yang tersusun rapi. Diharapkan segala dokumen peraturan dan arahan berkaitan telah diperturunkan ke bawah dan diperhalusi oleh pelbagai peringkat entiti DMPM terutama di peringkat kawasan dan cawangan. Keselarasan langkah-langkah ini akan membentuk satu kekuatan dan gelombang yang kuat ke arah menuju visi dan misi DMPM serta akan dapat mencapai impian kita”.

Visi DMPM ialah menerajui gerakan wanita yang merangkumi kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat serta kesejahteraan dan keharmonian negara. Sebuah negara yang dirahmati dan diberkati di mana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya terlaksana menuju keredhaan Ilahi.

Manakala misi DMPM pula adalah;
1. Membina para amilin dan kepimpinan ‘AKIFI (‘Alim, Haraki dan Sufi) dengan tanzim pentarbiyahan bersepadu dan pengurusan yang profesional.

2. Membudayakan sikap politik matang dan sejahtera yang mengutamakan kepentingan Islam dan keharmonian rakyat dalam urusan pentadbiran negara yang berkait dengan hal ehwal wanita.

3. Membentuk wanita, anggota keluarga dan masyarakat yang matang, berakhlak dengan nilai-nilai murni Islam ke arah kesejahteraan.

4. Memartabatkan wanita dan peranannya dalam negara serta di persada antarabangsa.

Justeru, Muslimat PAS perlu sentiasa proaktif dan menunjukkan ketrampilan yang berwibawa agar netizen dapat melihat izzahnya Muslimat PAS dengan akhlak yang gemilang, prestasi yang cemerlang!