Home Muktamar PAS Ke 65 Pemilihan Muktamar: Proses pengundian lancar

Pemilihan Muktamar: Proses pengundian lancar

3
SHARE

Oleh : AIMAN NAZRAN

KUANTAN: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 menyaksikan pertandingan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat melibatkan seramai 29 calon yang menawarkan diri bagi mengisi 18 jawatan tersebut.

 Berdasarkan tinjauan, suasana pengundian berjalan dengan tenang dan selesa di ruang khusus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

 Seorang perwakilan berkerusi roda turut kelihatan hadir membuang undi dengan dibantu petugas khas muktamar, termasuk anggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat yang membantu melancarkan proses pengundian.

 “Alhamdulillah proses pengundian berjalan lancar macam yang kita juga buat dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kita dah jangkakan 3 jam cukup untuk 1,230 perwakilan untuk mengundi. Kita sediakan 33 terminal,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Salleh.

Proses pengundian yang menggunakan sistem elektronik itu bermula sekitar jam 4.00 petang tadi dan dijangka berakhir jam 7.15 malam ini, namun menurut beliau, keputusan penuh akan diumumkan pada hari Ahad.

Jawatan Naib Presiden pula dimenangi tanpa bertanding oleh dua orang penyandang iaitu Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, manakala seorang muka baru iaitu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menang tanpa bertanding bagi menggantikan kerusi yang dikosongkan oleh Dato’ Ar Iskandar Abd Samad. – HARAKAHDAILY 21/6/2019