Home Muktamar PAS Ke 65 Pendidikan Islam: PH jangan jolok sarang tebuan

Pendidikan Islam: PH jangan jolok sarang tebuan

37
SHARE

Oleh: IZWAN ABDUL HALIM

KUANTAN: PAS akan terus memperjuangkan pendidikan yang merupakan sebahagian perkara termaktub dalam Perlembagaan PAS, demikian kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali.

Beliau memberi penjelasan dalam sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini tadi,

Menyentuh mengenai cubaan DAP dari Kerajaan PH masuk campur dalam sistem Pendidikan Islam, beliau melontarkan peringatan agar mereka itu tidak berbuat tindakan ‘menjolok sarang tebuan’.

Kerana katanya, majoriti rakyat negara ini adalah Islam dan tentunya mahukan sistem Pendidikan Islam dititikberatkan, bahkan juga mahu ianya diarusperdanakan dalam negara ini.

Dr Halimah turut menyangkal ‘ugutan’ pihak yang mahu menyaman wakil PAS berkenaan ucapan supaya menutup sekolah vernakular di mana sememangnya ia tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pun begitu, beliau tetap memuji usaha pihak minoriti yang bekerja keras memperjuangkan sekolah vernakular hingga terdapat murid Melayu Islam juga belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil.

Atas semangat itu seru beliau, anggota di dalam PAS juga mesti mencipta kejayaan sama dengan pembangunan TASTI, PASTI, SRITI, SMITI dan IPT milik PAS untuk mencapai piawaian tertinggi hingga dihormati.

“Keluarkan modal insan yang bertakwa, berilmu, berkaliber, mempunyai ilmu kepakaran termasuk urus tadbir kewangan dan segala yang melayakkan kita melahirkan khalifah fil ardh insya-Allah,” ujarnya.