Home Muktamar PAS Ke 64 Dewan Ulamak Penerapan Tarbiyyah Perlu Diberikan Penekanan

Penerapan Tarbiyyah Perlu Diberikan Penekanan

41
0
SHARE

Penerapan Tarbiyyah Perlu Diberikan Penekanan
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

KUALA TERENGGANU: Ahli PAS baru sahaja melalui tarbiyah siasah yang besar iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Setelah beberapa dekad kita berada dalam pakatan parti-parti pembangkang utama, bermula dengan kerjasama PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996), Barisan Alternatif (1999-2008) dan Pakatan Rakyat (2008-2015).

Pilihan raya yang lepas, PAS telah bersendirian dan hanya disokong oleh parti-parti kecil seperti Ikatan dan Berjasa melalui Gagasan Sejahtera.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Hashim Jasin mengingatkan kepada semua sidang perwakilan ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke 57.

Beliau menyatakan, itulah pengalaman baru gerakan politik PAS dalam memimpin perubahan, sesudah kerjasama kita bersama Pakatan Rakyat telah menghasilkan natijah yang buruk, iaitu kerosakan fikrah sebahagian pimpinan dan ahli-ahli PAS, sehingga melahirkan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN).

Baginya, pengalaman tersebut telah menjadi cabaran yang besar kepada para ulamak untuk bermuhasabah tentang bagaimana gagalnya kita membentuk kefahaman ahli-ahli tentang konsep tahaluf dalam politik dan juga masalah wala’ kepada rakan-rakan pakatan dengan meninggalkan kepemimpinan dan jemaah sendiri.

Tuan Guru dengan jelas menyebut ketika itu berlakunya serapan fahaman-fahaman baru yang dicipta oleh Barat dalam pemikiran ahli-ahli PAS seperti Islam Liberal, post Islamisme, Islam demokrat, Islam inklusif, Islam progresif dan sebagainya.

“Inilah natijah daripada kecuaian kita dalam memperkasakan tarbiyah kepada pimpinan dan ahli-ahli – satu hakikat yang kita tidak sepatutnya malu untuk mengakuinya, dan kita mesti bertindak menangani perkara ini dengan lebih cergas lagi.

“Salah satu peranan besar para ulamak dalam PAS, khususnya Dewan Ulamak PAS ialah menggerakkan tarbiyah.

“Ketika kita meminda Perlembagaan PAS pada 2009, kita mewujudkan Jawatankuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan yang dipimpin masing-masing oleh Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan, kita menetapkan tugas utama Jawatankuasa Urusan Ulamak ialah mengembleng tarbiyah harakiyah ahli-ahli di peringkat terbawah,” tegas beliau.

Beliau mengingatkan bahawa apabila ahli-ahli PAS menghadapi krisis dalam kefahaman dan amal, ulamak mesti berperanan untuk melihat sisi-sisi kekurangan dalam program tarbiyah, bersama Lajnah Tarbiyah dan Kepemimpinan PAS Pusat.

Katanya beliau menyebutkan perkara itu, bukan dengan tujuan menghina, tetapi untuk membina.

Ulamak bertanggungjawab untuk memulih dan memperkasakan seluruh gerakan tarbiyah parti agar kita dapat membangunkan kekuatan yang sebenar.

“Selain memperbaiki dan meningkatkan kualiti tarbiyah ahli-ahli PAS, satu tugas besar bagi Dewan Ulamak PAS ialah untuk membentuk kefahaman Islam yang lebih mendalam dan menyeluruh kepada setiap rakyat negara ini.

“Di hadapan kita ada dua golongan mad’u yang telah kita fahami iaitu orang-orang Islam yang lalai dan orang-orang bukan Islam, yang kedua-dua menjadi sasaran dakwah kita.

“Bagi orang bukan Islam, pendekatan PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS merupakan saluran terbaik untuk kita memberikan kefahaman kepada mereka tentang Islam,” katanya.

Beliau melontarkan pandangannya dengan jelas menyebut, tidak memadai bagi kita dengan menjadikan mereka jambatan politik untuk mendekati orang bukan Islam sahaja, tetapi dalam masa yang PAS tidak menyusun langkah-langkah untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap agama Allah, sehingga mereka merasa senang dan selasa dengan Islam, sekali gus mendekatkan hati mereka kepada agama yang suci ini.

Tambahnya, bagi orang-orang Islam, sama ada orang-orang awam yang tidak berparti mahupun ahli-ahli parti politik Melayu kebangsaan sekular, gerakan untuk menanamkan kefahaman Islam kepada mereka mesti diperluaskan.

Realiti kini, para ulamak dan asatizah telah menguasai medan dakwah di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara, tetapi ia belum memadai untuk dakwah ini mengjangkau ke segenap urat nadi dan ceruk kehidupan masyarakat.

“Jika umat Islam berterusan tidak memahami Islam yang sebenar, mereka akan memberikan tindak balas negatif terhadap apa sahaja agenda Islam yang dibawa oleh PAS.

“Nah! Lihatlah bagaimana sikap sebahagian dari umat Islam terhadap perlaksanaan hukum sebat di Terengganu baru-baru ini.Itulah natijah dari kejahilan dan ketidakfahaman mereka terhadap Islam.

“Atas asas inilah saya menekankan kepada semua ulamak PAS supaya berusaha lebih keras melalui pelbagai saluran termasuk menggunakan media baru dan membangunkan pendekatan yang lebih strategik untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam sebagai langkah jangka panjang kita ke arah menegakkan negara Islam,” ujar Tuan Guru.