Home Muktamar62 Artikel Pengerusi Tetap akui muktamar ini paling menarik

Pengerusi Tetap akui muktamar ini paling menarik

214
SHARE

KOTA BHARU – Pengerusi Tetap, Hussin Ismail mengakui Muktamar Tahunan Pas ke-62 yang berakhir hari ini merupakan paling menarik sepanjang 20 tahun pengalamannya mengendalikan himpunan tahunan berkenaan.

Menurutnya, sejak hari pertama muktamar hingga ucapan penangguhan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tengah hari tadi, kerusi perwakilan dan pemerhati sentiasa penuh.

“Tidak pernah…saya sudah 20 tahun menjadi Pengerusi Tetap Pemuda hingga sekarang ini (Muktamar Tahunan Pas ke-62), perwakilan dan pemerhati penuh sampai akhir. Tidak pernah berlaku.

 

“Selalunya selepas Ucapan Dasar, separuh dah hilang dan hari akhir dah habis…tinggal perwakilan separuh.

“Sekarang ini sampai akhir, perwakilan dan pemerhati masih lagi tidak cukup tempat. Ini suasana yang sangat menarik,” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas Muktamar Tahunan Pas yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) ditangguhkan, hari ini.

Muktamar Pas kali ini menjadi tumpuan banyak pihak termasuk media selepas perpecahan dalaman Pas yang berlangsung tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hussin berkata suasana tenang sepanjang muktamar berlaku susulan keserasian berjaya dicapai ahlinya setelah krisis yang melanda.

“Saya sebenarnya merasa yang sekarang ini bersama dengan Tok Guru (Abdul Hadi) dan pimpinan yang ada ini, kita tak ada banyak percanggahan pendapat. Satu sahaja.

“Dengan gagasan baharu yang disebut sebagai politik matang dan sejahtera ini, nampaknya masing-masing mempunyai persediaan, cukup selesa dan saya fikir ini mampu mengubah landskap baru politik di Malaysia,” katanya.

Beliau optimis suasana itu akan berterusan untuk masa akan datang.

“Saya rasa perkara ini akan berterusan sebab asas besarnya apabila kita kurang tarbiah, itu akan menjadi masalah. Sekarang tarbiah menjadi sesuatu yang paling diperkasa dalam organisasi parti terutama sekali ahli.

“Bila proses tarbiah berjalan dengan cara yang lebih tersusun, itu akan selesai (semua) masalah. Saya pun dalam pengendalian muktamar kali ini cukup tenang. Tidak ada suara yang kita rasa bercakap di luar jemaah. Itu menarik. Mudah-mudahan berterusan,” katanya.