Home Muktamar PAS Ke 65 Pusat Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua: Muktamar Pencetus Kebangkitan Siri 2

Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua: Muktamar Pencetus Kebangkitan Siri 2

4
SHARE
MESYUARAT AGUNG PERTAMA… Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sedang menyampaikan Ucapan Dasar PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama pada 3 Januari 1953

MEMORI MUKTAMAR SEMPENA MUKTAMAR TAHUNAN PAS KALI KE-65

PERSIDANGAN ALIM ULAMAK MALAYA KEDUA: MUKTAMAR PENCETUS KEBANGKITAN
Siri 2

Mohd Fadli Ghani
Pusat Penyelidikan PAS

PASCA Persidangan Alim Ulamak Malaya yang julung kali diadakan di bawah anjuran Umno di Kelab Melayu Maharani, Muar pada 21-22 Februari 1950, suasana pergerakan agama agak teruja dengan tujuh resolusi yang berjaya diputuskan. Para ulamak sangat mengharapkan supaya penyelarasan pentadbiran agama dapat dibuat, selain hal-hal berkait ibadat haji, puasa dan hari raya, pendidikan tinggi Islam dan dakwah. Namun begitu, setelah cadangan Persidangan Alim Ulamak untuk menyelaraskan pentadbiran agama ditolak oleh Raja-raja Melayu, Umno tidak mengambil langkah-langkah yang kukuh untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang lain. Perkara ini ternyata sangat mengecewakan alim ulamak, sehingga Penasihat Hal Ehwal Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah melahirkan kekesalannya.

Sebenarnya, di sebalik kegagalan Umno untuk melaksanakan resolusi-resolusi ulamak tersebut, umat Islam telah digemparkan oleh beberapa isu antaranya isu pemurtadan Natrah di Singapura pada Disember 1950, rancangan membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu pada Januari 1951, keengganan pemimpin Umno menukar slogan ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’ pada Mac 1951 dan penganjuran Loteri Umno pada pertengahan 1951. Isu-isu ini telah menimbulkan kegusaran para ulamak Umno sehingga Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menulis artikel bertajuk “Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Mempunyai Persatuan” untuk meluahkan kekecewaan bahawa suara ulamak tidak berpengaruh dalam Umno.

Suara ulamak diberi perhatian

Rungutan para ulamak terhadap sikap Umno dalam soal agama telah mendapat perhatian pimpinan tertinggi Umno. Kesan daripada tulisan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 1 Jun 1951 itu telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung Umno pada 30 Jun 1951 memutuskan supaya Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Tujuan utamanya adalah supaya isu-isu umat berkait agama dapat dibincangkan.

Di sebalik keputusan Umno itu, wujud pro dan kontranya. Pengarang Qalam, Syed Abdullah al-Edrus mempersoalkan keupayaan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad untuk menghadapi sikap pemimpin Umno terhadap agama, dan mencadangkan supaya beliau keluar dari Umno untuk menubuhkan persatuan Islam yang bertujuan dakwah dan siasah Islam di luar dari Umno. Dalam masa yang sama, Kesatuan Melayu Singapura (KMS) sebagai pertubuhan bersekutu Umno telah memutuskan supaya bertukar menjadi sebuah pertubuhan berdasarkan Islam, sedangkan ulamak Singapura, Sheikh Fadhlullah Suhaimi mencadang penubuhan sebuah badan Islam, Majlis A’la li as-Syau’un ad-Diiniah Malaya untuk membela kepentingan Islam.
Di Seberang Perai, para ulamak Umno Pulau Pinang yang bersidang kerana membincangkan isu Loteri Umno telah mencadangkan supaya ulamak menubuhkan ‘Persekutuan Muslimin Malaya.’ Keadaan menjadi lebih menarik apabila Utusan Melayu pada 20 Ogos 1951 menyiarkan tulisan Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Engku Ismail Abdul Rahman yang mendakwa Umno telah tergelincir dari dasar al-Quran dan Sunnah, lalu mencadangkan supaya para ulamak menubuhkan sebuah ‘Parti Muslim Malaya’ dalam persidangan pada 23 Ogos 1951 nanti. Sebenarnya, akhbar-akhbar seperti Qalam, Utusan Melayu dan Warta Negara ketika ini telah menyiarkan pelbagai kritikan daripada pembaca tentang kedudukan Islam dan ketidakberkesanan Umno dalam soal ini. Bahkan, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad sendiri menulis dalam _Suara Umno_ pada 15 Februari 1951 tentang “Siasah Islam menjamin keadilan.”

Ulamak bermuktamar kerana isu umat

Kerana desakan berterusan daripada pelbagai pihak, khususnya daripada para ulamak sendiri, akhirnya Umno bersetuju supaya Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Setelah jemputan dibuat, akhirnya seramai 61 orang alim ulamak telah hadir mewakili 25 Bahagian Umno, Perikatan Pemuda Umno dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Umno, di samping 20 badan lain yang berada di luar Umno. Berbeza dengan persidangan di Muar, persidangan kali ini tidak dihadiri oleh Majlis-majlis Agama Negeri dan juga Jabatan-jabatan Agama Negeri kerana Raja-raja Melayu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa berkait dengan agama.

Antara tokoh-tokoh ulamak yang hadir dalam persidangan ini termasuklah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad (Penasihat Agama Umno), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang), Kiyai Haji Fadhlullah Suhaimi (KMS), Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim (Perikatan Pemuda Umno) dan Haji Abdul Hamid Fadhil (Pengerusi Penghulu Malaya). Pada awalnya, persidangan ini kelihatan seperti dikuasai oleh Umno kerana sebahagian perwakilan adalah mewakili badan-badan di bawah Umno, kecuali 35 orang perwakilan yang mewakili badan-badan agama di tempat masing-masing yang rata-rata menghantar maksimum dua orang wakil bagi sebuah badan.

Resolusi Persidangan Ulamak

Persidangan ini diadakan dalam suasana yang agak tegang tentang isu-isu umat Islam. Dua isu terbesar adalah isu Natrah dan Loteri Umno, manakala isu-isu lama berkait penyelarasan pentadbiran agama, urusan haji, zakat, puasa dan hari raya, masalah pendidikan Islam, pengembangan dakwah dan lain-lain turut dibangkitkan. Keseluruhnya, sebanyak 22 usul telah diangkat oleh pelbagai pihak kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini. Tetapi kesemua usul ini sebenarnya tidak dibahaskan oleh persidangan ini, kecuali dua usul yang dicadangkan kemudiannya oleh Penasihat Agama Umno. Para ulamak berpandangan, semua usul itu tidak mustahak dan tidak bermakna, selagi ulamak berpecah dan tidak mempunyai persatuan sendiri, kerana suara ulamak dipandang sepi dalam Umno.

Pada hari persidangan yang berlangsung pada 20 Zulhijjah 1370 ini, Yang Dipertua Agung Umno, Dato’ Onn Jaafar telah mencadangkan supaya sebuah ‘Lembaga Islam Tinggi’ ditubuhkan untuk menyatukan pentadbiran agama, di dalam ucapan pembukaannya. Ia adalah reaksi terhadap ketidakpuasan hati para ulamak ekoran kegagalan Umno melaksanakan resolusi persidangan sebelumnya. Persidangan yang dipengerusikan oleh Kiyai Haji Fadhlullah Suhaimi ini telah menerima usul pertama Penasihat Agama Umno supaya memperbaharui semula semua keputusan di Muar, khususnya hal penyatuan pentadbiran agama. Hasilnya, sebuah memorandum persidangan ini dikirimkan kepada Raja-raja Melayu berkait penyatuan pentadbiran agama.

Ulamak menubuhkan persatuan sendiri

Persidangan Alim Ulamak ini kemudiannya membincangkan usul kedua daripada Penasihat Agama Umno iaitu untuk menubuhkan sebuah badan ulamak, ‘Persatuan Ulamak Malaya.’ Ekoran itu, mereka turut memutuskan beberapa resolusi berkaitan, iaitu:

1) Menubuhkan sebuah Jawatankuasa Sementara Lima Anggota sebagai penaja dipengerusikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, dan dianggotai oleh Syed Mohamad Syafie (Kuala Lumpur) dan Qadhi Haji Ayub (Perak). Dua lagi anggota yang dilantik oleh pengerusi ialah Saadon Jubit (Singapura) dan Haji Mohd Amin Amran (Johor). Jawatankuasa ini diberi tanggungjawab “menjalankan pekerjaan menubuhkan” Persatuan Ulamak Malaya;

2) Bersetuju supaya Persidangan Persatuan Ulamak Malaya diadakan di Pulau Pinang tidak lewat daripada Disember 1951 untuk menubuhkan persatuan ini secara rasmi;

3) Bersetuju bahawa persatuan ulamak ini tidak berada di bawah Umno. Persatuan Ulamak Malaya adalah tidak terikat dengan Umno, dan persidangan di Pulau Pinang nanti “tidak di bawah pentadbiran Umno;” dan

4) Semua perbelanjaan persidangan di Pulau Pinang adalah ditanggung oleh pertubuhan yang menyertainya. Kutipan derma yang dilancarkan pada hari itu berhasil mengumpulkan sebanyak $200.00 untuk membiayai persidangan akan datang.

Kejayaan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 bersamaan 20 Zulhijjah 1370 menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya yang berasingan dari Umno telah membentuk sejarah baru negara dalam politik, dakwah dan pergerakan Islam. Cita-cita para ulamak dan pencinta Islam untuk menubuh dan memiliki sebuah organisasi Islam bagi menyatupadukan para ulamak dan umat Islam untuk menegakkan al-Quran dan Sunnah telah tercapai. Ia sekali gus menggantikan Hizbul Muslimin yang telah dilumpuhkan oleh penjajah sejak Ogos 1948. Langkah gagah para ulamak dalam mengembalikan kedaulatan Islam di Tanah Melayu bermula dalam muktamar di Kuala Lumpur ini.

Mohd Fadli Ghani
Head
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Ramadhan 1440 / 29 Mei 2019