Home Muktamar PAS Ke 66 Dewan Muslimat Perwakilan Kelantan Seru Penglibatan Wanita Dalam Sektor Kerjaya

Perwakilan Kelantan Seru Penglibatan Wanita Dalam Sektor Kerjaya

121
SHARE

Perwakilan Kelantan Seru Penglibatan Wanita Dalam Sektor Kerjaya

Oleh: Asmaa Yusof

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pengkalan Chepa, Khairiah Mohd menekankan peranan Muslimat dari sudut kestabilan kewangan, ekonomi, perdagangan dan keusahawan.

Katanya, dalam keadaan negara berhadapan masalah Covid-19, semestinya ekonomi antara aspek utama yang akan terjejas.

Jelasnya, semasa PKP 66% perniagaan mengalami penurunan yang drastik.

“Covid-19 menguji ekonomi negara. Data menunjukkan rakyat berjimat-cermat dan hanya membeli untuk survival hidup,” katanya.

Justeru itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Muslimat mampu menjadi pengurus kewangan yang baik.

Beliau berpesan agar wanita hendaklah mencerna dalam kehidupan berumahtangga bahawa harta dan kekayaan bukanlah matlamat hidup, namun ia hanya wasilah kebahagiaan.

Seterusnya, perwakilan Pengkalan Chepa itu turut menekankan peranan Muslimat dalam sektor kerjaya.

“Hanya 52.2% wanita menceburi bidang kerja berbanding 84.4% dari lelaki.

“Penyertaan wanita dalam kerja mesti dipertingkatkan dengan kaedah yang sesuai sebagai isteri, ibu dan anak.

“Waktu kerja anjal dan ‘work from home’ mesti diperluaskan bagi menjemput wanita berkemahiran untuk terus kekal di bidang masing-masing,” ujarnya.

Mengakhiri ucapan, Khairiah berkata Kelantan telah memperkenalkan Skim Halimatun Saadiah yang merupakan latihan bagi wanita sebagai pengasuh di rumah.